KETIKA mereka diarah bergerak ke Gaza pada 22 Oktober lalu, media dunia melahirkan kebimbangan. Bimbang terhadap keganasan pasukan yang dianggap paling ganas di antara pasukan-pasukan Israel yang lain.
Briged Golani punya sejarah yang sangat keji sepanjang 75 tahun kewujudannya.
Media Arab bimbang Gaza akan mengalami kemusnahan teruk dengan kemasukan pasukan ini.
Namun selepas 60 hari bergelumang dosa di Gaza, pasukan Golan diperintah berundur bermula 21.12 yang lalu.
Keputusan itu disambut dengan sorak sorai dan pesta. Bukan dari penduduk Gaza. Tetapi dari anggota pasukan Golan sendiri.
Mereka sudah tidak tahan berhadapan dengan serangan dan tindak balas pejuang-pejuang Palestin yang menyebabkan kerugian harta benda dan juga nyawa. Bahkan ramai pegawai berpangkat tinggi mati dibunuh oleh pejuang Palestin.
Sejarah
Usia pasukan ini lebih tua dari usia kerajaan haram Israel sendiri. Pasukan ini ditubuhkan pada 22.2.1948 untuk berhadapan dengan pejuang Palestin dan ancaman negara-negara Arab sekeliling.
Pada zaman penjajahan British, kaum ini mempunyai pasukan-pasukan pengganas yang bertugas menyerang kampung-kampung orang Islam. Antara kumpulan yang aktif ialah Argon dan Hajanah. Kumpulan ini pernah melakukan pembunuhan kejam di Dir Yasin dan lokasi lain diketuai oleh Manacem Begin.
Menjelang penubuhan kerajaan Israel, kumpulan-kumpulan pengganas ini diserap ke dalam kumpulan tentera rasmi. Antaranya ialah Briged Golani. Ketua pertama mereka ialah David Ben Gurion.
Perang
Kumpulan ini terlibat dalam hampir semua peperangan dengan pejuang Palestin dan negara-negara Arab.
Perang 1948, 1967, 1973, 1978 (di Lubnan), 1982, 2006 (Lubnan), 2014 (Gaza) dan terkini perang Tufan Al Aqsa, kumpulan ini turut dilibatkan.
Balas dendam
Apabila sekali lagi terpilih untuk melanyak Gaza mereka sangat gembira dan penuh semangat kerana ingin menuntut bela dan membalas dendam di atas kekalahan mereka di Syuja’iyyah pada 2014.
Namun kedatangan mereka bagaikan menyerah leher, apabila Al Qassam mengisytiharkan, “Kamu masuk dalam keadaan hidup, kamu tidak akan keluar melainkan sebagai mayat!”
Nakbah 48
Sebaik diisytiharkan penubuhan negara haram Israel, negara-negara Arab Mesir, Jordan, Syria, Iraq dan Lubnan mengisytiharkan perang ke atas Israel pada 15 Mei 1948.
Operasi Hiram
Pada 28.10.1948 empat briged tentera termasuk Briged Golani melancarkan operasi dikenali sebagai Operasi Hiram di sepanjang kawasan Al Jalil hingga ke sempadan Lubnan.
Sepanjang 3 hari serangan telah membunuh sejumlah pejuang dan penduduk. Ramai yang ditawan. Mereka turut menghalau penduduk dan mengosongkan kawasan yang diserang.
Media melaporkan pasukan Golan telah melakukan aktiviti mencuri barangan penduduk secara terang-terangan menggunakan trak dan lori.
Pembunuhan Elbon
Pada 30.10.1948 Briged Golani masuk ke sebuah kampung. Mereka dapati penduduk sedang berlindung dalam sebuah gereja sambil mengangkat bendera putih.
Semua mereka diheret keluar. 14 orang ditembak mati di khalayak ramai. Penduduk yang hidup dihalau ke sempadan Lubnan. Ketika mereka sedang berjalan kaki ke Lubnan, pihak tentera menembak ke arah mereka secara rambang menyebabkan berlaku kematian dan kecederaan.
Selepas beberapa hari dari insiden ini, Briged Golani datang semula ke kampung berkenaan untuk menghalau baki penduduk yang masih tinggal. Mereka temui 19 orang penduduk. 14 daripada mereka ditembak mati.
Perang Syria
Pada 1951, Briged Golani terlibat dalam peperangan menentang tentera Syria di daerah Tabariah. Pasukan ini kerugian 40 orang terbunuh dan 72 cedera.
Perang 3 serangkai
Pada 29.10.1956, Israel, Britain dan Perancis bergabung menyerang Mesir untuk menguasai terusan Suez. Briged Golani diberi peranan penting dalam peperangan ini.
Seramai 56 pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Al Azhar turut serta menjadi sukarelawan dengan izin Jamal Abd Nasir.
Perang 1967
Briged Golani diberi peranan penting dalam peperangan pada tahun 1967 menentang Syria dan Jordan.
Sebuah bukit dikenali sebagai Til Azizat menjadi markaz tentera Syria di Bukit Golan. Berkali-kali Israel melakukan serangan untuk menguasainya. Namun tidak berjaya.
Sehinggalah pada 9.6.1967, Briged Golani melakukan serangan dan berjaya mengalahkan tentera Syria.
50 orang terbunuh syahid, 20 ditawan termasuk komandan tentera Syria dan timbalannya di Til Azizat. Serentak dengan itu juga, Bukit Golan jatuh ke tangan Israel seluruhnya.
Perang 1973
Briged Golani diarah menduduki Jabal Syaikh dan merampasnya dari penguasaan Syria, namun tidak berjaya. Mereka turut mencuba masuk ke Damsyiq, namun sempat dihalang oleh tentera Briged ke-6 dari Iraq.
Perang Lubnan
Briged Golani turut terlibat dalam siri peperangan ke atas Lubnan.
Pada 1982, Briged Golani diberi tugas mengetuai serangan ke atas Selatan Lubnan dan peperangan yang dikenali sebagai Perang Qal’ah Syaqif. Ia berlangsung selama beberapa hari. Hampir-hampir mereka menguasai Beirut.
Pada 2006, Briged Golani tewas di tangan Hizbullah di Selatan Lubnan. Ramai tenteranya terbunuh. Ramai juga yang lari. Sejak kekalahan itu, pasukan Briged Golani ditugaskan secara kekal membantu pengawal sempadan Utara untuk mengawal pencerobohan musuh dari Utara, khususnya Hizbullah.
Mereka turut ditugaskan secara kekal berkawal di Utara Tebing Barat, khususnya di daerah Jenin dan Tulkaram.
Perang Gaza
Sejak Israel berundur dari Gaza pada 2005, wilayah itu sering menjadi sasaran Israel hampir setiap tahun.
Ketiadaan tentera dan warga Israel di Gaza membolehkan mereka melakukan serangan udara dengan selesa tanpa perlu bimbang keselamatan warga mereka.
2008-2009
Briged Golani terlibat menentang pejuang Palestin dalam peperangan yang dikenali sebagai معركة الفرقان di kalangan pejuang Palestin dan dipanggil oleh Israel sebagai Operasi Cast Lead. Serangan bermula 27.12.2008.
Briged Golani ditugaskan melakukan serangan darat bersama beberapa pasukan lain.
Beberapa orang pimpinan HAMAS terbunuh syahid dalam peperangan ini. Antara mereka ialah bekas Menteri Dalam Negeri kerajaan HAMAS, Nizar Rayan, Said Siyam dan lain-lain.
2014
Israel melancarkan serangan yang dikenali sebagai ‘Operation Protective Edge’ atau di kalangan pejuang Palestin ia dikenali sebagai operasi العصف المأكول.
Ia bermula dengan serangan udara dan kemudiannya serangan darat pada 17.7.2014. Briged Golani ditugaskan menyerang Syuja’iyah kerana Israel menganggap ia sebagai kubu kuat HAMAS. Serangan diketuai oleh Ghassan Alian.
Ketika mereka melakukan operasi mencari terowong di Hayyu Syuja’iyah pada 19.7.2014, mereka dikejutkan dengan serangan luar jangka dari pejuang Palestin.
Tembakan bertalu-talu ke arah mereka menyebabkan 7 orang terbunuh dan ramai yang lain cedera. Ghassan turut cedera parah.
Sehingga hari terakhir serangan (20.7.2014) sebanyak 7,000 peluru Meriam berkuasa tinggi dilepaskan ke Hayyu Syuja’iyah. 100 bom seberat 900 kg turut dijatuhkan di kampung itu oleh pasukan udara.
Peperangan di kampung ini menyebabkan 65 orang penduduk terbunuh syahid dan 288 cedera.
Di pihak musuh, pejuang Kataib Al Qassam berjaya membunuh 14 orang tentera Israel.
Israel tidak mengakuinya. Mereka mendakwa hanya 11 orang terbunuh. Dua hari kemudian, Abu Ubaidah keluar dengan rakaman video memaparkan seorang pegawai tentera bernama Orol Shaul beserta no tenteranya sambil Abu Ubaidah berucap,
“Sekiranya pihak Israel mampu menipu angka tenteranya yang terbunuh, adakah mereka mampu menafikan pegawai tentera ini sedang berada dalam tahanan Al Qassam!”
Sebaik sahaja tersebar video berkenaan, warga Palestin keluar ke jalan-jalan raya merayakan kejayaan berkenaan. Laungan takbir berkumandang di menara masjid-masjid di Gaza.
Sebahagian warga pergi ke hospital As Syifa’ dan mengagihkan kuih muih kepada pesakit dan petugas hospital sebagai tanda kegembiraan.
Kejayaan itu turut diraikan oleh penduduk Tebing Barat. Mereka mengibarkan bendera Palestin pada kenderaan masing-masing di semua bandar di Tebing Barat.
Selesai peperangan 2014, tiga orang tentera dilaporkan membunuh diri kerana tekanan perasaan. Dua orang membunuh diri di sempadan Gaza, manakala seorang lagi membunuh diri setelah tiba di kawasan yang dikuasai Israel.
Sememangnya rekod bunuh diri di kalangan tentera Israel adalah kritikal. Dari tahun 1990 hingga 2021, Israel mengumumkan seramai 817 orang tentera membunuh diri dengan sebab tekanan perasaan dan gangguan jin.
2023
Selepas 15 hari pejuang Palestin melancarkan operasi Tufan Al Aqsa pada 7.10.2023, pasukan Briged Golani dikerahkan ke Utara Gaza untuk melakukan serangan darat.
Pengumuman Israel itu menggembirakan anggota Golani kerana mereka sangat berhasrat untuk membalas dendam terhadap penduduk Gaza, khususnya Hayyu Syuja’iyah di atas apa yang menimpa mereka pada 2014.
Di pihak Arab pula pengumuman ini begitu membimbangkan kerana Briged Golani sememangnya terkenal sebagai pasukan yang ganas sepanjang sejarah 75 tahun kewujudan mereka.
Mereka memulakan serangan ke Utara Gaza pada 22.10.2023. Seperti mana mereka begitu loba untuk melanyak penduduk Syuja’iyah, pejuang-pejuang Palestin khususnya Al Qassam turut menumpukan operasi mereka di Utara Gaza.
Setiap kali serangan dilancarkan, ada sahaja pejuang Palestin yang ‘buat kacau’. Setiap hari ada sahaja kereta kebal dan trak yang dimusnahkan.
Mereka sangat tidak aman untuk melakukan operasi serangan. Senjata RPG7 milik pejuang yang dianggap kuno, begitu menggerunkan mereka.
Rumah-rumah yang tidak berpenghuni hasil serangan udara, memudahkan pergerakan pejuang untuk menggempur Briged Golani. Dari sebalik runtuhan bangunan mereka membedil tentera-tentera Golani yang melintas.
Bukan sekadar Al Qassam, pasukan Saraya Quds, sayap bersenjata Jihad Islami turut memberi tamparan hebat kepada pasukan pengganas ini.
Dalam satu kejadian, 13 orang tentera menceroboh sebuah rumah kerana dikatakan menjadi pintu terowong pejuang.
Ketika ke semua mereka berada di dalam rumah berkenaan, seorang pejuang dari kumpulan Saraya Quds keluar dari terowong dan menembak 2 orang daripada mereka. Lalu melempar bom ke dalam rumah berkenaan menyebabkan kesemua mereka terbunuh.
Beberapa hari kemudian Al Qassam pula mengumumkan kejayaan mereka membunuh 10 orang pengganas kebanyakannya berpangkat besar dalam Briged Golani. Kematian pegawai-pegawai tinggi tentera ini turut diumumkan dalam media-media Ibrani.
Al Qassam juga mengeluarkan satu pengumuman, “Kamu masuk ke Gaza dalam keadaan hidup dan kamu tidak akan keluar dari sini melainkan dalam keadaan tubuh kamu hancur!”
Pada 17.12.2023, bekas komandan Briged Golani (1993-1995) Moshe Kaplinsky mengumumkan bahawa 1/4 dari kekuatan pasukan itu telah musnah sama sekali. 82 orang terbunuh dalam peperangan kali ini.
Situasi ini begitu melemahkan semangat anggota Golani. Bayangan kematian sentiasa menghantui mereka. Mereka sudah tidak berani lagi berhadapan dengan pejuang Palestin.
Mereka lebih banyak bersembunyi di luar kawasan penduduk sambil menyalurkan maklumat kepada pasukan udara mengenai lokasi-lokasi yang patut dibom.
Moral mereka jatuh teruk. Setiap hari mereka berhasrat untuk berhenti dari berperang. Hinggalah pada 21 Disember lalu, Israel mengumumkan untuk mengundurkan pasukan Golan dari Gaza.
Pengumuman ini menyebabkan mereka sangat gembira. Rakaman video menunjukkan mereka berpesta dan menyanyi sesama mereka sebagai tanda gembira penderitaan mereka berhadapan dengan pejuang Palestin telah berakhir.
Demikianlah pasukan yang dilihat sangat brutal dan ganas. Tetapi rupanya sangat penakut. “Cukuplah 60 hari. Kami sudah tidak sanggup!”
ARIS HAZLAN ISMAIL
Penulis adalah pengarang buku Dr Abdullah Azzam Dalam Kenangan (1996), Nostalgia Syuhada’ Palestin (2002), Ahmad Yasin Dalam Kenangan (2004), Gaza Menangis (2009) – HARAKAHDAILY 24/12/2023
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.


