Malukan orang, cara baru politikus mahu popular? 

- Advertisement -

MELINTAS di newsfeed aku berkenaan seorang Menteri Besar, marahkan kontraktor sebab kerja yang tak siap atau tak berkualiti. Beliau memarahi pekerja kontraktor itu di hadapan dan kontraktor pula dalam talian semasa pergi melawat sebuah tapak pembinaan. 

Ada juga sebelum itu, ADUN yang marahkan pekerja kontraktor yang sedang melakukan kerja di tempat dia. Bahasa dia guna jauh lebih berkualiti nilai makiannya. Dengar memang sedap. Yalah, maki orang, memang sedap. Diambil pula gambar pekerja bawahan kontraktor tanpa mengaburkan wajah mereka. Sambutan di Tiktok beliau kelihatan meriah dengan komen sokongan orang ramai. Bagaikan wira lagaknya. 

Ada juga seorang ADUN dan juga ketua tertinggi kepada sayap sebuah parti, cuba meniru aksi memarahi kontraktor melalui telefon di dalam videonya kerana dipercayai melanggar peraturan atau kontrak. 

Ironinya ADUN itu yang dilihat kononnya benci dengan salah laku itu, kemudiannya didapati memberhentikan kereta di tengah-tengah sebuah bandar dan berjalan keluar, tanpa mempedulikan anggota keselamatan dan juga kenderaan lain yang juga terpaksa berhenti akibat perbuatannya, menyebabkan kesesakan lalu lintas dan hampir mencetuskan pergaduhan akibat provokasi melampau. 

Teringat juga kepada seorang pembesar di Bandung, Indonesia, seorang wanita yang turun ke bawah mencari salah kakitangannya dan memarahi mereka di depan orang awam dan kakitangan lain. Dengan membangkitkan pengetahuannya dan menuduh kakitangan itu menipu.

Semua itu boleh dilakukan di dalam video. Lakonan ataupun juga aksi spontan. Yang menjadi mangsa ialah pekerja. Mereka bukan tahu sangat, kerana bekerja hanya mengikut arahan. Di samping itu kita tidak menafikan ada pekerja bermasalah yang gagal mematuhi prosedur yang telah ditetapkan.

Akan tetapi memarahi pekerja di hadapan awam sambil merakam dan kemudian menyiarkannya, tidaklah akan meningkatkan nilai kepimpinan ataupun juga kehormatan pihak yang memarahi itu. Serendah itukah fikiran mereka dengan merendahkan maruah manusia? Atau hanya menumpang publisiti dengan lakonan itu? Dan bagaimana pula kontraktor utama? Adakah mereka juga dimarahi secara berdepan? Atau hanya pekerja kontraktor bawahan sahaja? 

Jika di pejabat, pada kebiasaannya bos yang baik, mereka akan memanggil dan menasihati atau marahkan pekerjanya secara tertutup, bukan di hadapan orang ramai atau staf yang lain. Atau kalau dalam kes yang dilakukan oleh ADUN-ADUN itu, kalau benar sudah tidak tertahan marahnya dan perlu dimarahi di hadapan awam juga, paling kurang, tidak perlulah merekodnya dan kemudian menyiarkannya dalam media sosial.

Atau kalau sudah terlalu ketagih mahu bermain Tiktok, hendak juga siarkan, minimal, kelabukanlah wajah mereka. Itu sudah cukup dan memadai untuk melaporkan kepada awam yang ADUN sedang buat kerja mereka. Rakyat juga faham. 

Dalam hal ini rasanya Menteri Besar – Menteri Besar dan ADUN-ADUN PAS, ada belajar dan mengamalkan adab tidak memalukan orang di hadapan umum. Sedangkan tidak berbuat jahatpun orang suka marahkan pimpinan PAS. Apa lagi jika buat hal dengan memarahi orang. Dan pimpinan PAS tidak memerlukan publisiti murahan memarahi orang bagi menjadi terkenal, mereka lakukan kerja secara diam tetapi bersungguh-sungguh. 

Tahu-tahu hutang negeri PAS menjadi kurang, tahu-tahu pelaburan masuk, tahu-tahu pelancong beramai-ramai menyerbu masuk, tahu-tahu ekonomi meningkat, tahu-tahu rakyat dapat tanah, tahu-tahu rakyat dapat bantuan. Tak perlu maki orang pun, dengan angka dan juga statistik itu, rakyat tahu pimpinan PAS sedang bekerja. Sebab itu jumlah majoriti PAS meningkat, sebab rakyat tahu kerja buat PAS. 

Parti selain PAS tidak mengapa, kalau nak maki rakyat, nak marah rakyat sebab mereka bebas berbuat apa sahaja.

MOHD NASIR ABDULLAH
23 Disember 2023 – HARAKAHDAILY 23/12/2023 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -