‘Tak beri peruntukan, tetapi dikecam bila minta sumbangan’

Mohd Fairuz Mohd Isa
- Advertisement -

SEREMBAN: Wakil-wakil rakyat PERIKATAN NASIONAL (PN) di Negeri Sembilan tidak diberi peruntukan, tetapi dikecam apabila mereka memohon sumbangan orang ramai untuk menampung kerja kebajikan.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Serting, Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa berkata, ia adalah dilema yang berlaku terhadap wakil-wakil rakyat pembangkang di negeri itu pada masa ini.

- Advertisement -

Tambah beliau, pandangan-pandangan sinis terhadap usaha mengumpul sumbangan masyarakat untuk membolehkan wakil rakyat pembangkang ini membantu semula rakyat ini biasanya datang dari pihak musuh-musuh politik PERIKATAN NASIONAL.

“Alhamdulillah, setakat hari ini apa kita tengok atau lihat iaitu ada sumbangan daripada masyarakat dan juga ahli-ahli PAS yang berkemampuan yang memberikan. Walaupun ada kontra dalam kalangan daripada musuh itu biasa.

“Mereka rakyat di peringkat DUN Serting ini memahami akan suasana yang ada. Dan, Alhamdulillah kalau tak banyak sikit kita bagi. Kalau  kita rasa kita tak mampu (bantu), kita sebutkan tak mampu,” ujarnya.

Mohd Fairuz yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Jempol berkata demikian semasa menjadi panel sebuah program ‘live’ di Tiktok Generasi Pemuda Bersuara, malam tadi. 

Selain beliau, program bual bicara itu menampilkan dua lagi ADUN PAS terdiri daripada ADUN Bagan Pinang, Ustaz Abdul Fatah Zakaria dan ADUN Paroi, Kamarol Ridzuan Md Zain (Pak Kam), selain turut mengundang pempengaruh politik terkenal, Atan Leecas.

Menurutnya lagi, bagi menghadapi pihak-pihak yang mencemuh ini, beliau bersama pasukan Pusat Khidmatnya mengambil sikap tidak menjawab cemuhan itu dan hanya menggiatkan aktiviti membantu rakyat dengan kemampuan yang ada.

“Kita tak jawab tapi kita buat kerja. Bila kita buat kerja kita maklumkan program-program yang kita buat, sumbangan-sumbangan yang kita berikan, walaupun tanpa ada peruntukan secara khusus daripada kerajaan negeri.

“Namun itulah sumbangan (yang diterima) daripada orang ramai dan juga duit-duit kita sendiri yang kita keluarkan untuk kita menyantuni rakyat, apa yang mampu, setakat yang kita mampu,” ujarnya.

Beliau dalam masa yang sama, sentiasa menggalakan semua petugas-petugas PAS samada di peringkat DUN Serting atau Kawasan Jempol, agar menyumbang untuk bersama-sama menggerakkan Pusat Khidmat untuk membantu rakyat.

“Walau pun isu tentang peruntukan ini telah dibangkitkan oleh semua kelima-lima ADUN PERIKATAN NASIONAL di dalam Dewan namun sehingga kini tiada apa-apa perkembangan positif berlaku,” katanya.  HARAKAHDAILY 20/12/2023

- Advertisement -