Sedekad Khidmat Malaysia di persada bantuan bencana negara

- Advertisement -

MUQADDIMAH

- Advertisement -

Hari ini, Pusat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) telah genap 10 tahun usianya, satu tempoh yang tidak semudah yang disangkakan. Menguruskan bencana bukanlah seperti mana badan-badan yang terlibat dengan kerja-kerja kebajikan dengan membantu keluarga miskin, anak yatim mahupun ibu tunggal kerana Khidmat Malaysia adalah sebuah organisasi yang terlibat dalam bantuan bencana bermula dengan kerja menyelamat (rescue), bantuan (relief) dan pemulihan (rehabilition).

Sudah tentu, persiapan bagi menghadapi bencana perlulah bersedia sentiasa kerana bencana boleh berlaku pada bila-bila masa pada setiap ketika. Bukan sahaja bantuan kepada mangsa seperti makanan perlu dipersiapkan malah kelengkapan seperti waterjet, waterpump, bot penyelamat, vest keselamatan dan kenderaan perlu sentiasa dipersiapsiagakan.

Bermula 17 Disember 2013, Khidmat Malaysia secara rasminya diwujudkan di dalam Mesyuarat Kali Pertama PAS Pusat dan Tuan Haji Salahuddin bin Ayub (allahyarham) telah dilantik sebagai Pengerusi manakala Tuan Haji Husin bin Ismail (Senator) telah dilantik sebagai Pengarah. Khidmat Malaysia pada peringkat awalnya dikenali sebagai Malaysia Emergency Desaster Management (MEDM) namun telah ditukarkan kepada Khidmat Malaysia pada tahun 2015.

Berbekalkan hanya logo rasmi, MEDM telah bergerak menangani bencana banjir tanpa persiapan pakaian rasmi, tiada peralatan yang lengkap dan belum begitu tersusun kerana organisasinya masih baharu, cuma berbekalkan pengalaman yang telah dilalui menguruskan bencana sebelum ini maka MEDM telah berjaya menguruskan bencana banjir pantai timur pada tahun 2014 dengan berkesan.

Banjir terburuk di Malaysia

Saya masih ingat lagi bagaimana negara telah dilanda dengan bencana banjir pada tahun 2014 yang dikatakan sebagai banjir yang terburuk dalam sejarah banjir di Malaysia dengan mencatatkan lebih 300,000 orang telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Banjir pada masa itu. MEDM yang baru menjangkau usia setahun telah diuji dengan bencana banjir yang menimpa negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung sehingga dilaporkan jumlah mangsa yang dipindahkan di Kelantan mencecah 170,000 orang daripada lebih kurang 36,000 buah keluarga yang ditempatkan dalam 309 buah tempat pelindungan melibatkan lapan daerah.

Banjir di Kelantan telah berlaku dengan begitu luar biasa dan dahsyat sekali sehingga banyak kawasan terputus hubungan, mangsa banjir ada yang terperangkap berhari-hari di dalam rumah dan di atas bumbung rumah serta ada yang terputus bekalan makanan. MEDM telah mewujudkan unit ‘stress call’ dengan seramai 60 anggota yang bertugas secara ‘shift’ untuk menerima apa jua maklumat yang berkaitan dengan banjir dan ia telah berjaya berfungsi dengan baik. Banyak panggilan kecemasan serta SMS yang diterima sama ada daripada mangsa ataupun keluarga mangsa yang terperangkap di lokasi yang berbeza-beza.

Bencana banjir Pantai Timur ini telah memberikan pengalaman yang cukup berharga kepada MEDM walaupun usianya baru ‘setahun jagung’ namun pengalaman ini telah membawa MEDM kehadapan dalam persiapan yang lebih rapi dalam melaksanakan misi bantuan bencana banjir.

MEDM bertukar ke Khidmat Malaysia

Bermula sesi 2015/2017, kepimpinan MEDM telah bertukar tangan. Malah bukan sahaja bertukar kepimpinan tetapi juga namanya. MEDM telah ditukarkan kepada KHIDMAT MALAYSIA sebagai singkatan Khidmat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia. Dato’ Iskandar bin Abdul Samad telah dilantik sebagai Ketua Pengarah yang baharu dan dibantu oleh dua orang  Timbalan Ketua Pengarah iaitu Haji Muhtar Suhaili dan Haji Hussin Ismail dengan jawatan Pengerusi telah ditiadakan. Selain penjenamaan semula nama dan logo ; Khidmat Malaysia telah mengeluarkan uniform rasmi yang kekal digunakan sehingga ke hari ini.

Sesi 2017/2019, Khidmat Malaysia kekal diterajui oleh Dato’ Iskandar Abdul Samad sebagai Ketua Pengarah. Bermula sesi ini, jawatan Timbalan Ketua Pengarah telah ditambah seramai tiga orang. Dr Azman Ibrahim sebagai Timbalan Ketua Pengarah 1, Haji Husin Ismail kekal sebagai Timbalan Ketua Pengarah 2 manakala Tuan Nazree Mohd Aris yang juga Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah 3. Bermula sesi ini, jawatan TKP 3 dikhususkan kepada Ketua Pengarah JAM.

Bencana banjir Pulau Pinang

Antara tragedi bencana banjir yang berlaku pada sesi ini dan terpahat dalam ingatan kita semua adalah bagaimana negeri Pulau Pinang telah dilanda bencana banjir besar sehingga menenggelamkan banyak kawasan di sana. Peristiwa Ketua Menteri Pulau Pinang yang menitiskan air masa secara ‘live’ di Facebook merayu supaya kerajaan Pusat menghantar bantuan melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana Pulau Pinang telah dilanda dengan bencana banjir terburuk sukar untuk dilupakan. Khidmat Malaysia telah bertindak pantas dengan menghantar bantuan awal seramai 200 orang petugas dan 30 tan makanan ke Pulau Pinang.

Bencana pencemaran bahan kimia Sungai Kim Kim

Tragedi kedua adalah pencemaran sisa kimia Sungai Kim Kim yang berlaku pada 7 Mac 2019, berpunca daripada pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor yang menyebabkan ribuan mangsa terkesan dengan percemaran ini. Khidmat Malaysia adalah agensi NGO yang pertama tiba di lokasi dan terlibat membantu mangsa dan bekerjsama dengan pihak berwajib untuk membuat persediaan di Stadium Tertutup Pasir Gudang.

Sesi 2019/2021, Khidmat Malaysia telah mengalami sekali lagi perubahan kepimpinan apabila jawatan Pengerusi telah diwujudkan kembali dan ianya telah dijawat oleh Ustaz Mohd Yusni Mat Piah manakala saya telah dilantik sebagai Ketua Pengarah. Bermula sesi ini, jawatan TKP 2 adalah dikhususkan kepada Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Pusat dan TKP 3 masih kekal kepada Ketua Pengarah JAM sehingga ke hari ini.

Coronavirus melanda dunia dan negara kita

Sesi ini adalah merupakan sesi yang sangat mencabar apabila berlakunya serangan virus Corona (Covid19) yang melanda dunia termasuklah negara kita. Khidmat Malaysia yang sebelum ini beroperasi hanya semasa berlakunya bencana melanda sahaja khususnya bencana banjir telah bertukar peranannya menjadi badan yang beroperasi sepanjang masa. Khidmat Malaysia telah melaksanakan beberapa tindakan untuk membantu agensi Kerajaan dan masyarakat Malaysia sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Di antara kejayaan yang telah berjaya dilakukan oleh Khidmat Malaysia, dalam tempoh beberapa bulan sehingga 12 April 2020, Khidmat Malaysia telah berjaya menyantuni seramai 107,439 keluarga dengan pelbagai sumbangan keperluan makanan harian. Sebahagian daripada penerima telah diberikan saguhati kewangan berjumlah keseluruhannya sebanyak RM54,170 telah diagihkan. Begitu juga dengan frontliner di hospital dan klinik kesihatan yang berhadapan dengan kekurangan peralatan keselamatan, melalui kerjasama Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) sebanyak 29,972 unit face shield, 9,140 unit medical glove, 2,508 unit isolation gown dan pelbagai lagi barangan telah diserahkan kepada pihak hospital dan klinik kesihatan di seluruh negara.

Khidmat Malaysia juga telah bergabung di bawah Sekretariat Tabung Bencana Covid19 yang dipengerusikan oleh Dr Rosni Adam dan telah menggerakkan satu kerjasama yang sangat baik dengan agensi kerajaan dan swasta bagi menyalurkan sumbangan kepada mangsa yang terkesan.

Sesi ini juga, Khidmat Malaysia secara rasminya didaftarkan sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) sebagai salah satu kaedah untuk lebih memudahkan operasi dan urusan Khidmat Malaysia dengan semua pihak.

Khidmat Malaysia jalinkan hubungan dengan pelbagai pihak

Sesi 2021/2023, Pengerusi yang baharu telah dilantik dan merupakan Pengerusi yang pertama dilantik di kalangan wanita. Dato’ Hajah Siti Zailah Mohd Yusof, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memang cukup terkenal sejak sekian lama dengan misi bantuan bencana banjir di kawasan beliau iaitu di Parlimen Rantau Panjang dan di seluruh negeri Kelantan.

Pada sesi ini, Khidmat Malaysia telah membuat beberapa perubahan khususnya dari sudut pendekatan pengurusan organisasi dan gerak kerja di lapangan. Dengan kapasiti Dato’ Siti Zailah atau lebih mesra dikenali sebagai Kak Lah sebagai Timbalan Menteri KPWKM, Khidmat Malaysia telah dilantik sebagai Rakan Koordinasi Strategik untuk memudahkan urusan kepada Khidmat Malaysia untuk turun ke lapangan khususnya di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Khidmat Malaysia juga telah berpindah ke pejabat di Taman Selasih, Batu Caves dan pejabatnya telah dirasmikan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man merangkap Timbalan Presiden PAS  pada 10 Ogos 2022 bagi memudahkan semua pihak dapat berurusan dengan Khidmat Malaysia.

Sesi ini juga, Khidmat Malaysia telah mewujudkan Rakan Strategik yang terdiri daripada badan bantuan kebajikan yang lain untuk turut sama membantu mangsa bencana. Antaranya, pada 8 Januari 2022, sumbangan untuk mangsa banjir dari Thailand dengan kerjasama Yayasan Al-Manji, Jabatan Kebajikan Masyarakat termasuk agensi Kerajaan Malaysia dan juga Kerajaan Thailand telah diterima oleh Kak Lah selaku Timbalan Menteri PWKM.

Pada sesi ini juga, lagu rasmi Khidmat Malaysia telah dilancarkan pada 4 Jun 2022 dan ianya dilancarkan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Samsuri Mokhtar merangkap Naib Presiden PAS di Himpunan Petugas Khidmat Malaysia yang Ketiga (HEBAT 3.0) di DITC, Kemaman.

Tabung Musa’adah Khidmat Malaysia

Sesi terbaharu, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary telah dilantik sebagai Pengerusi Khidmat Malaysia yang baharu pada 22 Oktober 2023 bagi meneruskan kegemilangan Khidmat Malaysia. Mengambil tindakan segera bagi menghadapi situasi bencana banjir yang dijangka akan berlaku, maka Tabung Musa’adah Khidmat Malaysia dijenamakan dan telah dilancarkan di Parlimen Malaysia oleh Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada 23 November 2023.

Penutup

Banyak lagi catitan sejarah yang telah dilalui Khidmat Malaysia yang tidak sempat untuk saya catatankan di sini namun apa yang telah tercatit di atas adalah sebahagian daripada pengalaman dan usaha yang dilalui oleh Khidmat Malaysia.

Semoga Khidmat Malaysia akan terus bergerak kehadapan dan saya memasang harapan dan hasrat agar Khidmat Malaysia akan mula mengorak langkah untuk menjadi pasukan bantuan bencana di luar negara, bermula di negara di kawasan Asia Tenggara.

Satu Dekad Khidmat Malaysia

“Berkhidmat Untuk Kemanusiaan, Beramal Kerana Allah”

KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
Ketua Pengarah Khidmat Malaysia
17 Disember 2023 – HARAKAHDAILY 17/12/2023

(Coretan Khairul Faizi Ahmad Kamil; satu catatan pengalaman bermula sebagai Ketua Bilik Gerakan Info Bencana sehingga dilantik sebagai Ketua Pengarah Khidmat Malaysia)

Penulis telah terlibat secara langsung sebagai penggerak bermula pada tahun 2014 sebagai Ketua Bilik Gerakan Info Bencana apabila berlakunya bencana banjir besar di Pantai Timur. Beliau telah dilantik sebagai Setiausaha MEDM selepas bencana banjir tersebut. Dilantik sebagai Bendahari pada tahun 2015 selama beberapa ketika sebelum kembali semula ke jawatan Setiausaha sehingga ke tahun 2019. Bermula sesi 2019/2021, beliau telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Khidmat Malaysia sehingga ke hari ini.

- Advertisement -