MBAS beri pengecualian bayaran sewa selama lima bulan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) memberi pengecualian bayaran sewa selama lima bulan kepada semua peniaga dalam tempoh pembinaan lot kedai baharu di Medan Baru, Jalan Putra.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azzamuden berkata, MBAS telah mengadakan pertemuan dengan peniaga berkenaan sebanyak tiga kali sejak April lalu.

Katanya semua peniaga yang terlibat bersetuju dipindahkan di tempat baharu iaitu tapak pasar malam Jalan Putra.

Kata beliau seramai 18 peniaga akan menerima kunci lot kedai baharu pada 21 Disember ini, manakala 18 peniaga lagi akan diserahkan kunci lot kedai pada fasa kedua menjelang tahun 2024.

“Operasi perniagaan di tapak baharu akan bermula pada 1 Januari tahun hadapan,” katanya di sini.

Seramai 36 peniaga di Medan Baru tersebut terpaksa berpindah untuk memberi laluan kepada projek naik taraf jalan persekutuan Jambatan Manjalara yang bermula April tahun ini.

Menurut Afnan, semua urusan berkaitan dijangka selesai sepenuhnya pada Mei hadapan. – HARAKAHDAILY 17/12/2023