Tindakan Lim Kit Siang sebenarnya mencabar orang Melayu

- Advertisement -

TINDAKAN DAP sudah lama menunjukkan terdapat agenda membelakangkan Perlembagaan Persekutuan antaranya Bahasa Melayu Bahasa Persekutuan dan Kedudukan Istimewa Bumiputera. 

Kenyataannya yang ditunjukkan DAP hari ini hanyalah kesungguhan mereka yang berterusan cuba mencabar orang Melayu di atas tanah airnya sendiri. 

Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim suatu masa dahulu pernah menyanggah kenyataan Pengerusi DAP Karpal Singh yang juga membangkitkan isu ini yang mana menurut beliau, semua orang mesti menerima hakikat penduduk tetap atau penduduk asal Tanah Melayu ini adalah orang Melayu.

Orang Melayu, yang merupakan orang asal di Tanah Melayu ini bersetuju terhadap pemberian kerakyatan kepada mereka yang datang ke Tanah Melayu suatu masa dahulu menunjukkan sikap toleransi yang amat tinggi. 

Prof. Datuk Dr Shamrahayu berkata, toleransi kritikal yang diamalkan di Malaysia bukan sahaja di peringkat menerima perbezaan tetapi lebih daripada itu, iaitu kemampuan meraikan perbezaan yang ada.

Namun kenyataan Lim Kit Siang berlawan dengan sifat toleransi yang telah dibuktikan oleh orang Melayu. Beliau sedang membuktikan suara hati sebenar mereka yang  tidak dapat mengakui kepimpinan dan corak pentadbiran orang Melayu.

Menjelang PRU-15 tahun lalu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata DAP sentiasa menghormati hakikat Malaysia perlu dipimpin oleh Perdana Menteri berbangsa Melayu. Namun setelah berkuasa, mereka sengaja mencetuskan isu-isu yang cuba membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia.

Kedudukan satu kaum yang besar jumlahnya namun dikecilkan kuasanya akan mewujudkan ketidakseimbangan dalam negara. 

Justeru, besar harapan agar pemimpin Melayu di blok kerajaan berani untuk menegur dan membantah apa yang sedang diperjuangkan oleh Lim Kit Siang.

“Adil, Prihatin, Berkebajikan”

USTAZ MUHAMMAD FAWWAZ MOHAMAD JAN
Ketua Penerangan
PAS Negeri Pulau Pinang
16 Disember 2023 – HARAKAHDAILY 16/12/2023 

- Advertisement -
- Advertisement -