Dayangku Intan lapor polis terhadap ‘Harakatdaily HD’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan pengendali Facebook ‘Harakatdaily HD’ yang dianggap mengeluar kenyataan berunsur fitnah terhadap penyanyi era 1980-an, Tengku Intan Tengku Abdul Hamid akhirnya berdepan siasatan polis.

- Advertisement -

Laman berita itu memuat naik kenyataan ‘Dayangku Intan anggap kemenangan Jaclyn Victor semalam tidak wajar berlaku – “Ramai lagi penyanyi Melayu Muslim yang lebih layak”.

Berita itu dikongsi sebanyak 805 perkongsian dan mengundang hampir 3,300 komen di mana kebanyakannya negatif termasuk komen yang mengancam penyanyi tersebut.

Sehubungan itu Dayangku Intan, 57 tampil membuat laporan polis petang semalam terhadap pengendali laman tidak dikenali tersebut.

“Harakatdaily HD nak melaga-lagakan. Saya takde komen apa. Saya tidak tahu Jacklyn Victor menang, saya tak tengok televisyen pun, saya tak tengok persembahan itu pun, ini betul-betul fitnah.

“Saya tak tahu. Sebenarnya saya tengok tulisan di Harakatdaily yang dibuat terhadap saya sejak dahulu lagi. Ketika itu saya rasa ia remeh saja.

“Tapi bila dimain isu keagamaan dan perkauman, ini kena ambil serius.. Awak letak gambar, awak nak fitnah kepada PAS? Awak nak memburukkan parti saya?

“Mereka sengaja hendak burukkan PAS,” katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Bukit Melawati.

Menurutnya beliau marah terhadap Harakatdaily HD kerana memainkan isu berunsur perkauman.

Oleh itu mendesak Harakatdaily HD segera memohon maaf terhadapnya.

“Sekiranya tidak meminta maaf, saya akan mengambil langkah seterusnya. Saya takkan berdiam diri. Nama saya, seikhlasnya.. juga nama parti saya,” katanya.

Ditanya mengenai isu disingkir daripada rancangan Aidilfitri di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada April lalu, katanya beliau belum menerima sebarang alasan. – HARAKAHDAILY 13/12/2023

- Advertisement -