Menyokong RUU Wasiat Orang Islam Perak 2023

- Advertisement -

BARU-baru ini, dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Perak, Kerajaan Negeri telah mengusulkan satu Rang Undang-undang Wasiat Orang Islam 2023. Usaha ini merupakan satu langkah proaktif yang sewajarnya diberikan pujian.

Allah S.W.T berfirman di dalam Surah al-Baqarah ayat 180:

- Advertisement -

كُتِبَ عَلَيْكُمْ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ إِنْ تَرَكَ خَيْرًا الْوَصِيَّةُ لِلْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ بِالْمَعْرُوفِ ۖ حَقًّا عَلَى الْمُتَّقِينَ

“Diwajibkan atas kamu, apabila seorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat untuk ibu-bapa dan kaum kerabatnya secara ma’ruf, (ini adalah) kewajiban atas orang-orang yang bertakwa.”

Menurut Imam Ibnu Kathir, hukum berwasiat di dalam ayat ini telah dimansuhkan oleh ayat 7 Surah an Nisa’. Namun, ia tidak menafikan kepentingan wasiat dalam pengurusan harta si mati.

Dalam hal ini, kita perlu sedar bahawa Undang-undang Islam bersifat menyeluruh. Antaranya ialah Undang-undang Wasiat atau apa yang berkaitan dengan harta si mati. Di sini menggambarkan bahawa Islam itu bukan sekadar kepercayaan atau religion, tetapi mencakupi semua perkara termasuk sistem hidup.

Sebelum ini, di Negeri Perak tiada Enakmen khusus berkaitan dengan wasiat telah digubal bagi membolehkan rujukan dibuat berkaitan hukum berwasiat. Yang ada hanyalah peruntukan di dalam Seksyen 50 (3)(b)(v) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 sahaja, iaitu di bawah peruntukan bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah.

Berdasarkan kajian yang dijalankan badan-badan berautoriti, dianggarkan pada masa kini harta umat Islam yang tidak dituntut berjumlah kira-kira RM70 bilion. Bahkan, nilai ini terus meningkat saban hari. Hal ini disebabkan banyak faktor, yang mana penghujungnya berakhir dengan pembekuan harta tersebut, tanpa dapat dimanfaatkan oleh pewaris.

Bahkan, antara isu besar yang perlu diperbincangkan ialah hutang si mati berbentuk cukai dengan agensi kerajaan. Termasuk juga pertikaian melibatkan antara orang Islam yang telah keluar Islam, dari sudut mahkamah yang perlu dirujuk sebagai penyelesaian.

Permasalahan yang terjadi di kalangan manusia perlu diselesaikan secara Islam. Ia menggambarkan betapa Islam itu perlu dilihat dan ditegakkan sebagai sebuah sistem bagi mengurus kehidupan manusia ke arah lebih baik.

Justeru, Dewan Ulamak PAS Negeri Perak menyatakan sokongan terhadap RUU yang dibentangkan itu, dan mengucapkan tahniah atas tindakan tersebut. Dewan Ulamak PAS Perak sangat mengharapkan agar Undang-undang Islam yang lain dapat diperkasakan sedikit demi sedikit demi kebaikan umat Islam, dan semua rakyat negeri.

USTAZ IBRAHIM ZAKARIA
Ketua Dewan Ulamak
PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 12/12/2023

- Advertisement -