Pesakit mental dalam kalangan pelajar sekolah

Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Senator Dr. Wan Martina Wan Yusoff meminta Menteri Kesihatan menyatakan apakah statistik pesakit mental dalam kalangan murid atau pelajar sekolah.

- Advertisement -

Soalan itu dikemukakan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau juga bertanya apakah langkah yang telah dijalankan bagi membendung keadaan itu daripada terus meningkat.

Soalan Ahli-ahli Dewan Negara daripada PAS, Bersatu dan Gerakan yang disenaraikan hari ini sebagaaimana di bawah.               

Dato’ Haji Husain bin Awang minta Menteri Kesihatan menyatakan status terkini pelaksanaan projek rintis penggunaan ubatan Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) dan sejauh mana keberkesanan

Tuan Haji Abdul Nasir bin Haji Idris minta Menteri Pendidikan menyatakan hasrat Kementerian dalam meneruskan silibus Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) dan usaha memastikan tiada unsur-unsur budaya luar terutamanya berkaitan silang budaya yang tidak sesuai di Malaysia dan bercanggah dengan akidah umat Islam.

Datuk Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat menyatakan pelan tindakan termasuk status terhadap taska tidak berdaftar yang banyak memberi impak negatif hingga berlakunya kes penderaan serta kematian kanak-kanak.

Tuan Haji Hussin bin Ismail minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan mekanisme yang diguna pakai oleh Kerajaan untuk penjaja B40 yang tidak tersenarai bagi memperoleh kemudahan inisiatif MyKiosk.

Dr. Wan Martina binti Wan Yusoff minta Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya menyatakan apakah projek-projek pelancongan dalam senarai keutamaan Kerajaan Negeri Kelantan yang telah diluluskan dan bilakah ia akan dimulakan.

Tuan Musoddak bin Ahmad minta Menteri Pendidikan menyatakan senarai keanggotaan Jawatankuasa Semakan Kurikulum pendidikan di sekolah di bawah Kementerian.

Tuan Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz minta Menteri Pendidikan menyatakan statistik kadar keciciran pendidikan murid peringkat rendah dan menengah mengikut pecahan negeri dan kaum serta langkah-langkah penyelesaian ke arah sifar keciciran.

Dato’ Haji Husain bin Awang minta Menteri Ekonomi menyatakan adakah Kerajaan bercadang untuk melaksanakan Banci Pertanian 2024 bagi menjamin sekuriti makanan negara memandangkan sudah hampir 18 tahun data ini tidak dikemas kini kerana kali terakhir bancian dibuat adalah pada tahun 2005.

Tuan Musoddak bin Ahmad minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim menyatakan pelan tindakan bagi menaik taraf Geopark Kebangsaan Jerai menjadi Geopark Global setaraf dengan Pulau Langkawi dan Gunung Kinabalu.

Dr. Wan Martina binti Wan Yusoff minta Menteri Kesihatan menyatakan apakah statistik pesakit mental dalam kalangan murid atau pelajar sekolah dan apakah langkah yang telah dijalankan bagi membendung keadaan ini daripada terus meningkat.

Datuk Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee minta Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri menyatakan perancangan Kerajaan dalam mengatasi masalah kekurangan pekerja di industri perabot yang makin serius dan adakah Kerajaan mempunyai sebarang rancangan untuk membenarkan industri tersebut mengambil pekerja asing untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian minta Menteri Dalam Negeri menyatakan adakah Kerajaan merancang untuk menambah baik Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sempadan Malaysia dan Indonesia di Borneo.

Tuan Haji Abdul Nasir bin Haji Idris minta Menteri Ekonomi menyatakan mekanisme pelaksanaan Dasar Gaji Progresif yang dicadangkan dan implikasi terhadap Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Tuan Haji Hussin bin Ismail minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan sama ada Kerajaan bercadang untuk meningkatkan keluasan rumah PPR di seluruh negara kepada 1000 kaki persegi sebagai suatu langkah menangani masalah sosial khususnya di lokaliti padat seperti kawasan bandar-bandar utama seluruh negara.

Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai minta Menteri Perladangan Dan Komoditi menyatakan apakah nilai industri lada putih berkrim yang banyak dihasilkan di Sarawak dan apakah usaha untuk mempergiatkannya serta agenda untuk mengkomersialkan sektor ini.

Datuk Razali bin Idris minta Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah menyatakan:-

(a) jumlah unjuran pertumbuhan ekonomi Bumiputera melalui sektor keusahawanan MARA melibatkan naik taraf, penambahan bilangan dan kemudahan premis perniagaan di Terengganu, Kedah, Kelantan dan Perlis dari tahun 2020 sehingga 10 bulan pertama tahun 2023 (mengikut tahun); dan

(b) jumlah usahawan berjaya dilahirkan dan sejauh manakah keupayaan usahawan ini meningkatkan daya saing menerusi Program Transformasi Premis Usahawan Luar Bandar (TRENT) terutamanya di Terengganu, Kedah, Kelantan dan Perlis mengikut tahun 2020 sehingga 10 bulan pertama pada tahun 2023. – HARAKAHDAILY 11/12/2023

- Advertisement -