Dah namanya kaki ‘claim’ 

- Advertisement -

ANTARA perkara yang diungkit dalam berita di bawah ini ialah jumlah pemberian projek berserta nilai oleh Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri Terengganu. Antara yang disebut ialah dua buah hospital di Dungun dan Kemaman daripada keseluruhan 407 projek bernilai RM1.19 bilion ke negeri ini.

Untuk makluman, kedua-dua buah hospital ini dibina pada zaman BN memerintah Terengganu. Hospital Kemaman tahun 2017 sepatutnya siap tahun 2021 dan Dungun pada tahun 2016, jangkaan siap tahun 2019. Projek ini di bawah RMK10 dan bukan pada zaman PH memerintah.

Dengan tarikh jangkaan siap yang jauh tersasar itu, kita tahu yang projek pembinaan hospital-hospital ini mempunyai masalah. Masalah paling teruk ialah Dungun. Sudah beberapa kali isu ini dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Dungun, YB Ustaz Wan Hassan Ramli dan juga bekas ADUN Sura, Cikgu Wan Hapandi Wan Nik. 

Sebagai bacaan kenangan, suatu masa dahulu sekitar tahun 2009, Hospital Setiu ketika baru dirasmikan juga mengalami masalah kulat dalam dewan bedah sehingga bertahun-tahun. 

Kalau beginilah cara Kerajaan Madani ‘claim’ kemajuan yang dibuat di Terengganu, maka ratusan projek lagi, mungkin menjadi persoalan juga kerana yang disebut projek yang sudah bermula hampir 10 tahun dahulu dan lebih malang lagi ia bermasalah.

Lagipun ungkitkan sebegini amat tidak kena kerana Kerajaan Pusat mempunyai tanggungjawab dan kewajipan terhadap negeri bagi pembangunan contohnya seperti Rancangan Malaysia bagi setiap lima tahun itu.

Ia tidak sekadar hanya menyedut wang hasil bumi negeri-negeri sahaja, tetapi kemudiannya mengaku itu wang mereka dan negeri-negeri yang membentuk Persekutuan dijadikan sebagai pengemis wang mereka sendiri.

Satu lagi persoalan yang ingin rakyat Terengganu tahu ialah bilakah Royalti Petroleum Negeri Terengganu akan dibayar sepenuhnya? Untuk tahun ini Pusat masih belum melunaskan sebanyak RM1 bilion wang rakyat Terengganu daripada RM1.5bilion. Kita hanya menerima RM500 juta sahaja.

Projek besar dari Pusat masuk ke Terengganu mungkin beberapa tahun sekali, akan tetapi royalti wajib masuk tiap-tiap tahun ke kantung Kerajaan Negeri. Selesaikan hutang wajib dahulu, baru kita sembang. Lebih memalukan projek yang disembang gebang itu pula projek yang sudah lama berjalan.

Hina sangat ke orang Terengganu sampai mahu diperbodohkan sebegini?

MOHD NASIR ABDULLAH
11 Disember 2023 – HARAKAHDAILY 11/12/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -