Perbincangan ilmiah urus rumah tangga bentuk keluarga harmoni

- Advertisement -

KANGAR: Perbincangan ilmiah berkaitan pengurusan rumah tangga dan kekeluargaan boleh menjadi rujukan bagi membentuk sebuah keluarga harmoni.

- Advertisement -

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, wadah tersebut dapat membuka minda masyarakat di samping menyebarkan ilmu kepada mereka.

“Wadah ini dapat membuka minda di samping melebarkan pengetahuan para peserta dan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

“Setiap anggota keluarga perlu memainkan peranan demi kesejahteraan generasi masa akan datang,” titah baginda ketika berkenan berangkat merasmikan Majlis Simposium Antarabangsa Kursi Jamalullail Universiti Islam Malaysia (UIM) dengan Majlis Agama Islam Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) 2023 (SKJ 2023) di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Canselor Universiti Islam Malaysia (UIM) Tun Datuk Sri Ahmad Fairuz Datuk Sheikh Abdul Halim, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor dan Naib Canselor UIM, Prof. Emerita Siti Naaishah Hambali.

Simposium yang bertemakan ‘Pengurusan Rumah Tangga Mawaddah dan Rahmah’ itu diianjurkan oleh UIM dengan kerjasama MAIPs.

Ia juga menjadi sebahagian dari platform ilmiah yang mempertemukan para cendekiawan, pakar, dan mereka yang berminat dalam bidang kekeluargaan untuk berbincang, berdiskusi, dan berkongsi pandangan.

Prof. Emerita Siti Naaishah berkata, pengurusan rumahtangga yang harmoni adalah asas kepada pembinaan masyarakat yang stabil dan sejahtera.

“Ilmu pengetahuan dan kefahaman tentang nilai-nilai mawaddah dan rahmah sangat penting.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang tak terhingga kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) atas sumbangan besar mereka dalam menyumbang dana berjumlah RM1.5 juta kepada UIM,” katanya.

Sumbangan tersebut digunakan bagi menjalankan aktiviti pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan inovasi serta merancakkan perkembangan ilmu pengetahuan.

Kursi Jamalullail telah menaja lima orang pelajar doktor falsafah dan tujuh orang pelajar sarjana dalam bidang Quran dan Sunnah.

Dalam bidang penerbitan pula, ia telah menghasilkan 18 buah buku serta 16 artikel akademik di jurnal-jurnal berindeks tinggi. – HARAKAHDAILY 7/12/2023

- Advertisement -