‘Jika perkara ini diteruskan Umno akan terkubur’

Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin
- Advertisement -

KANGAR: Kemenangan besar PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman membuktikan Umno semakin ditolak oleh ahlinya sendiri.

- Advertisement -

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berkata, ahli Umno telah menterjemahkan protes kepada kepimpinan Umno menerusi kertas undi mereka.

“Majoriti orang Umno tidak bersama dengan presidennya, tetapi kerana kuasa presiden begitu hebat boleh melakukan pemecatan dan menggantung ahli yang tidak sebulu dengan kepimpinan maka mereka tidak lantang untuk melahirkan pandangan mereka.

“Perkara ini diterjemahkan semasa PRK Kemaman dengan penambahan majoriti sehingga 10,000 undi dalam masa belum sampai setahun selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Mana datang majoriti sebanyak ini, adakah orang PAS bertambah tidak juga, saya yakin ini daripada orang-orang Umno,” katanya ketika ditemui di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) di sini, hari ini.

Menurut Hashim lagi, jika amalan itu diteruskan tidak mustahil Umno bakal terkubur pada PRU akan datang.

“Saya yakin jika perkara ini diteruskan Umno akan terkubur jika masih membawa pembawakan yang sama.

“PAS tidak bermusuh dengan Umno. Mereka boleh bila-bila masa saja jika mahu bersama dengan gerakan perpaduan ummah tetapi jangan meletakkan syarat mesti tolak Bersatu dahulu baru boleh bersama,” katanya lagi.

Persoalannya, mana lebih munasabah antara permintaan Umno dan PAS demi menuju ke arah perpaduan ummah.

“Umno letak syarat supaya tolak Bersatu baru mereka mahu bersama, manakala PAS pula meletakkan syarat tidak menerima DAP.

“Mana satu syarat yang lebih munasabah, Umno atau PAS sedangkan yang melaungkan NO DAP suatu ketika dahulu adalah mereka (Umno),” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 7/12/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!