Sedih dan geram melihat keadaan padang SNBJ

- Advertisement -

ESOK adalah Perlawanan Akhir Piala Malaysia dan pemain-pemain dari pasukan JDT dan TFC sedang ‘dihantui’ dengan perasaan bimbang terhadap keselamatan mereka pada hari perlawanan nanti.

Bayangkanlah, padang SNBJ telah dijahanamkan dan menjadi ‘huru-hara’ selepas konsert kumpulan Coldplay. 

Dengan musim hujan yang sedang dialami oleh negara ketika ini, tidak mustahil padang akan menjadi becak, jikalaupun tidak seteruk menjadi bendang.

Tahap keselamatan pemain sudah tentu menjadi perhatian, bukan sahaja tahap permain mereka nanti. Padang seperti ini akan ‘membunuh’ corak dan rentak permainan kedua-dua pasukan.

Justeru memang patutlah Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Gerald Hans Isaac kena serang di media sosial dan menggesa beliau membaik pulih padang SNBJ yang telah rosak.

Malah, bukan sahaja peminat bola sepak kecewa dengan Hans Isaac tetapi juga Tunku Ismail, Tunku Mahkota Johor (TMJ) turut memuat naik komen sinis mengenai mutu padang SNBJ dengan memetik nama Hans Isaac.

Memang pelik bila Hans Isaac dilantik sebagai Pengerusi PSM. Sebagai seorang Ahli Politik baharu dengan menyertai PKR, dengan pengalaman meluas dalam bidang lakonan, apakah kriteria yang memungkinkan beliau dilantik ke jawatan ini?

Sebab itu tidak pelik apabila ada di kalangan peminat bola sepak yang mendesak beliau melepaskan jawatan kerana beliau tidak ada merit yang meyakinkan. Lebih-lebih lagi, padang SNBJ rosak teruk dan seluruh negara sedang memerhati ketika ini.

KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL 
7 Disember 2023 – HARAKAHDAILY 7/12/2023

- Advertisement -
- Advertisement -