Merungkai kepeningan SUA Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki

- Advertisement -

KITA hairan mengapa begitu jauh sekali Setiausaha Agung Umno, Dr Asyraf Wajdi melencong dalam mengulas kenyataan terbaru dikeluarkan Timbalan Presiden PAS, Ustaz  Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyatakan terdapat kemungkinan kerjasama Umno PAS boleh diwujudkan kembali.

Namun begitu, Dr Asyraf telah melencong jauh dengan mengaitkan pula ulasan ini dengan isu takfiri dan label melabel. Jika kita menggunakan akal dan mata kurniaan Tuhan, maka kita akan faham bahawa isu kafir mengkafir, label taghut dan sebagainya adalah isu lapuk yang tidak lagi dipercayai rakyat khususnya anak muda. 

PAS tidak pernah mengkafirkan orang lain atau melabelkan secara terus apa-apa istilah yang berat kepada orang lain. Dr Asyraf sendiri yang telah meletakkan label tersebut terhadap Umno. Apa yang pernah PAS laksanakan adalah menerangkan Batas-batas Iman dan Kufur kepada segelintir umat Islam yang giat memperlecehkan hukum Islam. Kini kesannya dapat kita lihat apabila tidak ada lagi orang Islam yang berani mempertikai hukum Islam secara terbuka. Bahkan umat Islam secara majoritinya mengakui bahawa Islam itu adalah Ad-Din dan tidak boleh dipisahkan daripada segenap aspek kehidupan.

Dr kena faham, kenyataan dikeluarkan oleh Timbalan Presiden PAS adalah berdasarkan kenyataan Isham Jalil, ahli MKT Umno (kini dipecat) berkenaan kerjasama Umno-PAS ekoran kemenangan besar PAS di Kemaman. Apabila PAS kata boleh bekerjasama kembali dengan Umno, Dr dan seluruh pemimpin Umno wajib faham bahawa PAS tiada masalah untuk bekerjasama kembali dengan Umno jika pemimpin Umno kembali ke matlamat asal penubuhan Umno iaitu memperjuangkan hak orang Melayu dan mempertahankan kedudukan agama Islam. Dr perlu jelas apa kehendak orang Melayu sekarang yang inginkan penyatuan ummah ini direalisasikan.

Sebab itu Dr kena ingat mengapa PAS mengambil keputusan untuk menangguhkan kerjasama dengan Umno. Tindakan menangguhkan kerjasama dengan Umno bukanlah kerana institusi parti Umno itu sendiri, akan tetapi kerjasama tidak lagi boleh diteruskan dalam keadaan Umno yang menjadi keruh kerana dipimpin oleh individu-individu yang tidak ikhlas memperjuangkan agama, bangsa dan negara sebagaimana matlamat asal penubuhan Umno. 

Keadaan Umno sebagai parti keramat orang Melayu begitu menyedihkan. Apabila ramai pemimpin Umno menegur tindakan luar tabie nakhoda Umno yang bertindak membuat kerjasama dengan DAP-PH, ramai daripada mereka telah dipecat dan digantung tanpa sebab. Sedangkan terpamer jelas kerugian dan kegagalan kerajaan campuran ini dalam segenap aspek baik dari segi ekonomi mahupun dari segi mempertahankan kepentingan orang Melayu dan agama Islam. Terkini, Isham Jalil ahli MKT Umno pula  dibuang tanpa sebab yang munasabah hanya kerana menegur dan mengkritik keras hala tuju Umno sekarang.

Dr ada mengatakan bahawa PAS kena bersederhana. Ya sudah tentu! Sejak dahulu lagi PAS bersederhana dalam perjuangannya. Jika tidak, PAS tidak akan menghulurkan tangan untuk menyelamatkan bahtera Umno yang nyawa-nyawa ikan pasca PRU14. PAS juga tidak akan membentuk kerjasama dengan PN dan parti bukan Islam seperti GERAKAN jika benar PAS mengambil langkah politik ekstrem.

Dr ada menekankan soal ukhuwah. Apakah Dr buat-buat buta dengan salam ukhuwah yang dihulurkan PAS berkali-kali sebelum PRU15 menjelang? Acap kali PAS dan PN menyeru seluruh parti Melayu bersatu dalam barisan yang sama demi penyatuan ummah. Hatta sebelum berlakunya PRN pada tahun ini, seruan ini dikumandangkan sekali lagi.Namun semua ini ditolak oleh pemimpin utama Umno yang dipimpin nakhoda Presiden.

PAS tidak akan lelah membuat seruan penyatuan ummah kepada seluruh parti-parti Melayu Islam di Malaysia. PAS kekal konsisten dengan agenda pengukuhan politik orang Melayu Bumiputera dan Islam yang sejak sekian lama menjadi teras fabrik sosial di Malaysia.

Maka sekali lagi, kami anak muda menyeru pemimpin Umno untuk membuat tindakan paling tepat dalam keadaan penuh genting ini. Sampai bila Umno dan 3 juta ahlinya perlu terpalit dengan kegagalan kerajaan ‘Madani’ dan DAP-PH dalam segenap aspek yang jelas mendatangkan kerugian kepada agama, bangsa dan negara Malaysia.

UTHMAN CHE AZIZ
Ahli Jawatankuasa Kerja Penerangan 
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 7/12/2023

- Advertisement -
- Advertisement -