‘Puad, jangan dangkal ilmu sejarah politik’

Mohammad Tawfik (kiri) dan Mohd Puad.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi disifatkan sebagai telah membuat kenyataan yang bersifat kesombongan dan buta sejarah politik Melayu.

Penganalisis politik, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata demikian susulan kenyataan media Puad semalam, yang menyatakan bahawa “Umno tidak perlu lagi memikirkan kerjasama parti itu dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS).”

Puad berkata demikian sebagai mengulas kenyataan seorang lagi MKT Umno, Isham Jalil  (yang kemudian dipecat Umno) yang membangkitkan semula isu kerjasama antara kedua-dua parti tersebut yang mengatakan bahawa Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar boleh menjadi Perdana Menteri kesebelas, jika Perikatan Nasional (PN) berjaya memujuk Umno bermuafakat semula sebelum PRU16.

Dalam kenyataan itu Puad berkata: “Kerjasama itu tidak akan kekal lama dan langsung tidak memberikan manfaat kepada mana-mana pihak.

“Buat masa ini tidak perlu difikirkan lagi kerjasama Umno-PAS. Ia tidak ke mana. Asasnya ialah politik. Ia tidak kekal dan tidak bermanfaat.” 

- Advertisement -

Mengulas tentang kenyataan Puad itu, Mohammad Tawfik  berpandangan bahawa hubungan Umno-PAS  tidak akan tamat selagi wujud orang Melayu. 

“Hubungan ini boleh muncul semula pada bila bila masa kerana politik ini bersifat dinamik,” katanya lagi.

Menurut beliau, jika diteliti semula sejarah tanah air, tahun 1973 hingga 1978 Umno dan PAS pernah bekerjasama dalam hubungan politik menerusi penubuhan Kerajaan Campuran dan Kerajaan Gabungan  Barisan  Nasional (BN).   

Sepanjang  tempoh  lima  tahun, ujarnya lagi,  kerjasama  politik antara UMNO  dengan  PAS  menerusi Kerajaan Campuran dan Kerajaan Gabungan BN, pelbagai  impak  terhadap perkembangan  Islam  di  negara  ini  telah  dicapai  dan dinikmati oleh orang Melayu. 

Katanya lagi, ada sarjana yang menulis tentang kerjasama politik dan bukan politik antara Umno dengan PAS pada ketika itu telah memberi banyak manfaat sehingga hari ini, terutama kepada orang Melayu-Islam.  

“Pada peringkat awal penubuhan Kerajaan Campuran, PAS merupakan sebahagian  daripada kerajaan yang telah berjaya melaksanakan penyiaran azan dan bacaan ayat-ayat suci  Al-Quran di stesen televisyen dan radio milik kerajaan. 

“Kerjasama antara Umno dan PAS pada masa itu berjaya menamatkan iklan dan keputusan perjudian seperti Sport Toto dalam televisyen. Sekaligus, dapat mengurangkan promosi   kegiatan perjudian dalam kalangan orang Melayu-Islam ketika itu.

“Kejayaan tersebut merupakan hasil permintaan dan perundingan antara dua tokoh politik ketika itu – Menteri PAS, Mustapha  Ali dengan Menteri Penerangan, Abdul Taib  Mahmud,” jelasnya kepada HarakahDaily.

Tambah Mohammad Tawfik, pembentukan Kerajaan Gabungan BN pada tahun 1974  turut memberi sumbangan besar terhadap perkembangan Islam di negara ini dan dapat dimanfaatkan secara  keseluruhannya  oleh orang Melayu. 

“Pada masa itu, dilihat kerajaan mengambil inisiatif menubuhkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bagi melicinkan urusan berkaitan  pentadbiran dan pengurusan agama Islam di peringkat Wilayah  Persekutuan Kuala Lumpur.    

Kerjasama politik  yang semakin erat antara Umno dengan PAS pada masa itu, menurut  beliau lagi, turut memberi cetusan idea oleh Tun Abdul Razak untuk menggandingkan pemimpin-pemimpin daripada kedua-dua parti untuk menerajui Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).  

“Perubahan yang dilakukan oleh (mantan Presiden PAS) Mohd Asri Muda pada masa itu turut dapat dirasai menerusi pengiriman guru-guru agama ke kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bagi mewujudkan sebuah sistem pendidikan Islam  yang  formal.   

“Bagi memastikan profesion perguruan dan kualiti akademik yang dihasilkan oleh guru-guru mencapai tahap yang sama seperti guru-guru daripada aliran akademik lain, kerjasama PAS dan Umno telah berjaya menubuhkan sebuah institusi perguruan Islam di Bangi, Selangor. 

“Jawatan Mufti turut diwujudkan oleh kerajaan bagi mengetuai urusan pentadbiran dan pengurusan hal ehwal agama  Islam  di  Wilayah  Persekutuan,” hujahnya lagi. 

Justeru, Tawfik turut mengatakan bahawa pengalaman lalu juga membuktikan kerjasama politik Umno-PAS itu berjaya dan cemerlang. 

Oleh itu, beliau berkata kenyataan media yang dikeluarkan oleh Puad semalam itu, jangan terlalu jumud dengan pemikiran statik. 

“Puad seharusnya merujuk kepada kajian sejarah dan penyelidikan oleh ahli akademik sebelum beliau menghukum sesuatu situasi. 

“Beliau jangan terlalu menganggap dunia politik adalah suci dan menolak tepi sejarah yang dikaji dan dibincang oleh  ahli akademik,” tegasnya 

“Kerjasama kedua-dua parti juga hebat semasa zaman pentadbiran mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang pernah menjadi Presiden UMNO dan uga Perdana Menteri mengenai isu Palestin,” katanya.  HARAKAHDAILY 7/12/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -