Kesan pembalakan berhampiran kawasan tadahan air

Ustaz Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin
- Advertisement -

Projek jalan perhubungan dalam Kampung Ulu Tembeling

- Advertisement -

Mohon kerajaan negeri memantau perjalanan projek ini yang bernilai RM158 juta  agar ianya dapat disiapkan mengikut jadual. Kerana setelah setahun lebih tiada perkembangan yang sepatutnya berlaku. Masalah pengambilan tanah dan pampasan mesti diselesaikan seberapa segera. Kelewatan projek ini berjalan akan memberi kesan kepada kenaikan kos dan juga akan memberi kesan kepada projek bekalan air bersih ke Kg. Kembir dan Kg. Tanah Pindah yang telah diluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta oleh KKDW kerana kebergantungan mereka kepada jajaran projek jalan perhubungan ini sangat tinggi bagi mereka menyiapkan reka bentuk projek bekalan air bersih tersebut.

Ladang YP Hevea Kampung Kuala Sat

Mohon penjelasan berapakah peluang pekerjaan telah dibuka kepada penduduk di Mukim Hulu Tembeling khususnya penduduk Kg. Kuala Sat? Berapakah pulangan hasil yang telah diperolehi daripada ladang ini? Saya juga inginkan kepastian, tentang dakwaan yang menyatakan bahawa ada 500 ekar daripada keseluruhan tanah ladang ini (6097.93 hektar/15,068 ekar) telah dimohon pelepasan sekitar tahun 2013/2014 dengan tujuan umumnya untuk pembangunan ekonomi Mukim Hulu Tembeling. Jika benar, di manakah lokasi tanah tersebut dan apakah bentuk pembangunan ekonomi yang telah dilaksanakan memandangkan ianya adalah pecahan dari tanah Ladang YP Hevea. Jika benar pelepasan 500 ekar itu berlaku, siapakah yang menjadi pemilik tanah tersebut?

Masalah prasarana SMK JPSHAS

Memohon pihak kerajaan menaik taraf prasarana demi keselamatan dan keselesaan pelajar dan guru-guru antaranya:

* Bangunan surau sekolah yang tidak boleh digunakan sejak setahun yang lalu atas nasihat pihak JK kerana kerosakan pada bahagian bumbung dan kerangka atap.

* Masalah pendawaian elektrik dibangunan yang ada termasuklah di Kelas Pendidikan Khas.

* Masalah tekanan air PAIP yang terlalu rendah dan tidak mencukupi bagi menampung keperluan sekolah sehingga perlu bergantung 90% kepada bekalan air bukit.

Mohon segala permasalahan bekalan air dapat ditangani dengan segera kerana ianya akan lebih meruncing apabila projek pembinaan SK Kuala Tahan dan KK Kuala Tahan berhampiran dengan sekolah ini dilaksanakan nanti. Masalah tekanan air rendah ini juga melibatkan beberapa kampung di sekitar Kuala Tahan.

Pelancongan

Tahniah kepada Kerajaan Negeri Pahang yang telah mencatatkan Kadar Purata Tempoh Penginapan Tertinggi di Malaysia Malaysia Average Occupancy Rates of Hotels) dengan kadar 73% sepanjang Januari hingga Jun yang lalu. Mencadangkan kepada kerajaan negeri memikirkan satu kaedah bagaimana mewujudkan konsep pelancongan Islam di Taman Negara Kuala Tahan agar ianya menjadi satu ‘identiti’. Masjid Kuala Tahan yang baharu nanti jika diluluskan permohonannya, dijadikan Masjid Pelancongan dengan senibina Islam yang dapat menarik pengunjung bukan Islam ke masjid.  Aspek peningkatan kebersihan di kompleks pelancongan, tapak pelupusan sampah serta penambah baikan fasiliti seperti jalan, kedai yang terurus, pencahayaan yang baik dan penyediaan mesin ATM bagi meningkatkan lagi perkhidmatan kepada pengunjung di Taman Negara Kuala Tahan.

Pembinaan Pusat Teknologi Getah Wilayah Timur berhampiran jambatan Tekal

Mohon penjelasan tentang status pembinaannya kerana pada Mei 2020, pihak Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah mengumumkan pembinaan sebuah Pusat Teknologi Getah Wilayah Timur yang menelan kos kira kira RM100 juta di daerah Jerantut dan lokasi yang dipilih ialah di dalam Dun Tahan dengan keluasan 2100 ekar dengan pecahan 2000 ekar akan dijadikan ladang getah yang baharu dan 100 ekar dibina pusat penyelidikan dan prasarana berkaitan. Bayaran premium juga telah dibuat kepada kerajaan negeri oleh pihak LGM. Projek ini dijangka membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan menjadi lokasi agro pelancongan.

Projek naik taraf jalan simpang Paya Garok

Mohon penjelasan tentang cadangan naik taraf @ naik aras Jalan Paya Garuk-Padang Piol susulan lawatan Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Arthur Joseph Kurup pada 31 Disember 2021 ke lokasi tersebut, apakah tindakan jangka pendek dan panjang yang telah dibuat bagi memastikan keadaan ini tidak lagi berpanjangan setiap kali musim banjir tiba.

Pembalakan berhampiran kawasan tadahan air di hutan Bukit Batu Garam, Seberang Labu, Mukim Tembeling Tengah

Mohon pihak kerajaan meneliti semula tentang cadangan pembalakan yang bakal dilakukan berhampiran kawasan tadahan air di Hutan Bukit Batu Garam, Seberang Labu, Mukim Tembeling Tengah. Kawasan tadahan air ini masih digunakan 100% oleh penduduk Kg. Batu Balak sejak 23 tahun lalu sehingga hari ini. Jika berlaku bekalan air terputus, penduduk kampung terpaksa menaiki bot daripada Jeti Kuala Tembeling yang mengambil masa 40 minit dan selepas itu terpaksa mendaki bukit pula yang juga mengambil masa lebih kurang 40 minit untuk mencari punca dan seterusnya membaik pulih. Aktiviti pembalakan di kawasan ini sememangnya akan memberi kesan negatif kepada penduduk kampung disamping akan turut merosakkan ekosistem hutan tersebut.

Pelantikan ketua kampung

Mengharapkan agar ketua-ketua kampung yang akan dilantik bagi sesi depan diberikan satu panduan khas agar tidak mengamalkan politik kepartian yang melampau yang boleh membina jurang dan perpecahan di kalangan masyarakat yang mempunyai pelbagai pegangan politik. Ketua-ketua kampung yang bersikap sederhana dan berfikiran terbuka sangat disenangi penduduk seterusnya akan menjadi jambatan penghubung dengan pihak kerajaan.

Turut mencadangkan kepada kerajaan negeri agar memberikan penghargaan khas kepada ketua-ketua kampung yang telah berkhidmat lebih daripada 15 tahun yang mungkin menamatkan khidmat mereka pada tahun ini atas faktor usia dan kesihatan seperti pakej mengerjakan haji atau umrah atau pakej percutian tempatan di dalam Negeri Pahang atau apa-apa yang sewajarnya. – HARAKAHDAILY 7/12/2023

Petikan ucapan ADUN Tahan, Ustaz Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin semasa membahaskan Bajet 2024 Negeri Pahang pada persidangan DUN Pahang 5 November lalu.

- Advertisement -