Polemik Perdana Menteri dari kalangan orang bukan-Melayu

Di mana pengakhirannya?

- Advertisement -

PADA 30 November yang lalu, Tan Sri Lim Kit Siang di dalam laman blognya menulis tiada peruntukan Perlembagaan untuk orang bukan-Melayu menjadi Perdana Menteri. Menurut beliau, Perlembagaan Malaysia 1957, pembentukan Malaysia 1963, Rukun Negara dan Wawasan 2020 menjanjikan Impian Malaysia yang meraikan kepelbagaian kaum dan etnik bukannya impian mono-etnik.

Merujuk kepada portal DAP Malaysia, mendiang Karpal Singh sewaktu menyandang jawatan sebagai Pengerusi DAP pada tahun 2012 juga berpendirian Perlembagaan Malaysia tidak menghalang mana-mana rakyat Malaysia menjadi Perdana Menteri.

Tokoh sejarawan negara, Mendiang Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim pernah membidas rakyat Malaysia yang mempertikaikan Perkara 153 dalam Perlembagaan Negara yang mengiktiraf kedudukan dan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera, seperti dipetik oleh portal Malaysiakini pada tahun 2010. 

Menurut mendiang, “Kerajaan pada masa itu telah pun mempunyai rakyat yakni orang Melayu dan rakyat kepada Raja tersebut mempunyai hak yang khusus berbanding orang yang datang dan menetap di Tanah Melayu bukan rakyat Raja, hanya berpeluang untuk memohon kewarganegaraan apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada 1 Feb 1948.”

Mendiang juga pernah mengulas kenyataan mendiang Karpal Singh berkenaan isu ini pada tahun 2012. Menurutnya, adalah hakikat bahawa orang Melayu adalah penduduk asal Tanah Melayu, malah British juga telah mengiktirafkan Malaysia sebagai ‘Malay States’ ketika negara belum mencapai kemerdekaan. 

Pendirian pemimpin PKR pada tahun 2012

Kenyataan ini dipetik oleh portal MStar pada tahun 2012 ketika beliau menjadi tetamu rancangan Dalam Radar Khas bertajuk ‘Demokrasi di Malaysia: Perdana Menteri Bukan Melayu’ terbitan Radio24 dengan kerjasama portal berita, AntaraPos.com pada Rabu.

Turut menjadi tetamu ialah Datuk Saifuddin Abdullah dan Shamsul Iskandar Mohd Akin, masing-masing menyandang jawatan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan Ketua Angkatan Muda Keadilan ketika itu.

Dalam ulasannya, Datuk Saifuddin mengatakan bahawa isu tersebut tidak seharusnya ditimbulkan oleh Karpal Singh sedangkan Ketua Pembangkang sendiri terdiri daripada orang Melayu.

Shamsul juga senada dengan beliau apabila mengatakan bahawa kenyataan Karpal tersebut hanyalah pandangan peribadi beliau. Beliau berkata, “Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen maka rakyat yang berketurunan Melayu mempunyai hak yang istimewa berbanding bangsa lain di Malaysia dan orang Melayu tidak seharusnya bimbang dengan pandangan anggota Parlimen veteran itu.”

Wajarkah seorang Perdana Menteri dari kaum minoriti?

Walaupun tiada catatan jelas bagi sesuatu kaum menjawat jawatan Perdana Menteri namun Perlembagaan Perkara 153 jelas menunjukkan bahawa kepentingan kaum Melayu, Sabah dan Sarawak perlu dijaga sebagai anak watan tanah ini.

Jika kita berbicara persoalan ini, kita tidak dapat lari dari Perkara 153 yang jika dilihat dari sudut sejarah Raja-raja Melayu dalam Perjanjian 1948 telah memberi komitmen kepada orang Melayu dalam bidang pendidikan, kemajuan ekonomi, kebajikan sosial dan penyertaan dalam perkhidmatan kerajaan.

Jelas di sini bahawa apa-apa perkara yang melibatkan kepentingan orang Melayu diletakkan kewajipannya ke atas Yang di-Pertuan Agong.

Namun begitu, hak-hak kaum lain juga dijaga kerana melalui kuatkuasa Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, Raja-raja Melayu juga memperkenan bangsa dan kaum asing diterima masuk sebagai warganegara. 

Perkara 153 jelas menunjukkan satu prinsip Perlembagaan yang membenarkan pelaksanaan keseimbangan antara kaum diwujudkan. Menurut Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz, Pensyarah Undang-undang dan Perlembagaan, berkata Perkara 153 tidak boleh dilihat sebagai satu kekebalan kepada kaum Melayu semata-mata.

Dasar itu sebenarnya turut melindungi hak anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak serta menjaga kepentingan sah kaum-kaum lain bagi mengelak jurang yang besar antara kaum Melayu dan bukan-Melayu. Tambah beliau, dasar itu mampu membentuk kesamarataan dan seterusnya mengukuhkan perpaduan antara kaum.

Persoalannya, melihat kepada perkembangan politik terkini, dan dakwaan bahawa Umno tidak lagi mampu menerajui kaum Melayu, berkemungkinankah Malaysia suatu hari nanti akan diterajui oleh seorang Perdana Menteri bukan-Melayu?

Bagaimanakah pendirian pemimpin-pemimpin Melayu dalam kerajaan sekarang ini termasuk pemimpin-pemimpin PKR yang pernah mengulas kenyataan mendiang Karpal Singh pada tahun 2012 dahulu? Selepas Tan Sri Lim Kit Siang membangkitkan isu yang sama pada 30 November 2023, adakah mereka konsisten dengan pendirian sebelum ini? 

ZURK AHMAD 
Ketua Penerangan 
PAS Negeri Selangor
6 Disember 2023 – HARAKAHDAILY 6/12/2023

- Advertisement -
- Advertisement -