Bertahun-tahun penduduk tidak dapat nikmati air paip

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH pada hari Isnin 4 Disember 2023 saya telah melibatkan diri dalam perbahasan Belanjawan Pahang 2024 yang telah dibentangkan oleh YAB Menteri Besar Pahang.

- Advertisement -

Seperti biasa saya mengambil kesempatan untuk membangkitkan isu-isu khusus berkaitan dengan DUN Damak.

Bekalan air

Saya membangkitkan kembali isu berkaitan air yang dialami oleh penduduk di DUN Damak. Terdapat beberapa kampung masih aktif mengambil inisiatif menggunakan kaedah air bukit atau juga disebut air kesihatan, kaedah ini telah membantu mengatasi masalah air paip yang langsung tidak dapat dinikmati oleh mereka bertahun-tahun lamanya.

Oleh itu diharap pihak kerajaan dapat membantu mereka dengan menyediakan peruntukan khas bagi tujuan untuk kos penyelenggaraan paip berkala dan baik pulih punca air tersebut yang sering tersumbat dan kotor terutamanya apabila hujan lebat.

Saya juga menyebut kembali lokasi-lokasi kampung yang masih tidak menerima bekalan air paip terutamanya di Mukim Ulu Cheka iaitu di Kampung Bukit Batu, Kampung Koi, Kampung Chap, Kampung Tanjung Puteri, Kampung Tengah, Kampung Jelai, Kampung Jeneris, Kampung Berau, Kampung Jingau, Kampung Perlok, kawasan sekitar Pekan Sehari Ulu Cheka, Kampung Batu 35, Kampung Anak Gajah, Kampung Sempadan, Kampung Sungai Terlang, Kampung Jo’o, Kampung Sungai Berjuang dan tekanan air yang sangat rendah di Kampung Belukar, Kampung Bharu dan 3 buah rumah di Kampung Bukit Genting.

Banjir

Saya juga mengulang kembali isu yang pernah dibangkitkan sebelum ini iaitu berkaitan beberapa rumah penduduk Kampung Batu Balai yang kerap kali rumah mereka dinaiki air apabila musim tengkujuh mahupun ketika hujan lebat.

Sembilan buah rumah yang berada di Jalan Aki Ayob 1 dan empat buah rumah lagi berada di Batu 35 Batu Balai. Saya mencadangkan agar mereka ini dipindahkan ke penempatan yang baharu. Lokasi cadangan adalah di kawasan berhampiran Loji Air Batu Balai. Kawasan yang saban tahun terkesan dengan banjir seperti Kampung Gintong juga sewajarnya diberikan perhatian.

Masalah capaian internet

Saya juga menyentuh berkaitan capaian internet dan talian telefon yang lemah meskipun kerajaan telah melaksanakan rangkaian 5G sehingga mencapai 80% menjelang hujung 2023. Dalam DUN Damak beberapa lokasi, capaian internetnya sering terganggu dan terputus.

Terutama di Kg Temin, Kg Sungai Badak, Pekan Damak dan Kg Sempadan. Manakala di jalan utama Hutan Simpan Kenong lansung tiada talian sedangkan kawasan ini sering berlaku kemalangan jalan raya dan pokok tumbang yang memerlukan panggilan kecemasan.

Gangguan gajah liar

Saya juga menyentuh kembali isu berkaitan ‘gajah naik minyak.’ Baru-baru ini pada 14 November 2023, gajah liar ini menyerang kembali Kampung Som. Bukan sahaja 100 batang pokok pisang yang dirosakkan bahkan melibatkan pondok kebun penduduk.

Adakah kejadian ini akan dibiarkan sehingga gajah ini mencederakan atau meragut nyawa penduduk? Barulah ketika itu, tindakan serius akan diambil, ketika itu sudah terlewat.

Saya memohon agar tindakan yang tegas diambil oleh pihak kerajaan dalam isu ini. Jangan kerana kerakusan perbuatan tangan manusia itu sendiri meneroka hutan hingga membahayakan nyawa dan harta orang lain. Kawasan tersebut telah dipasang pagar elektrik, namun bagaimana gajah liar ini boleh keluar dari kawasan tersebut?

Makluman yang saya dapati, kejadian ini adalah berpunca daripada ‘Spring Gate’ yang tidak berfungsi dengan baik kerana ada pihak tidak bertanggungjawab yang keluar masuk tanpa menutup kembali gate tersebut. Harapan saya kerajaan perlu mengambil tindakan tegas dalam menangani isu yang kian berlarutan ini.

Prestasi Pasaraya Darul Makmur

Akhir sekali, saya membangkitkan isu berkaitan prestasi Pasaraya Darul Makmur yang dilihat semakin merosot. PDM adalah alternatif kepada umat Islam dalam bidang ekonomi, menjadi pusat barangan halal dan ia sebahagian daripada syiar Islam.

Pada 2017 sebanyak 7 cawangan PDM di seluruh negeri Pahang. Namun beberapa cawangan PDM telah ditutup manakala produk muslim semakin sukar diperolehi.

Pihak kerajaan perlu memberikan perhatian agar PDM dapat kembali berfungsi dalam menjana ekonomi ummah dan pasaraya yang unggul.

Demikianlah isu-isu yang saya telah bangkitkan kali ini. Semoga Allah Taala permudahkan urusan kita di dunia dan akhirat.

ZURIDAN MOHD DAUD
ADUN Damak – HARAKAHDAILY 6/12/2023

- Advertisement -