Petisyen Pilihan Raya: Malapetaka buat Umno-BN Terengganu

- Advertisement -

TAHNIAH YAB Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (Dr Sam)  Tahniah PAS Terengganu, Tahniah PAS Kemaman.

Tahniah semua pimpinan PAS Pusat dan Negeri-negeri yang membantu.

Tahniah Rakyat Kemaman yang telah mengutuskan YAB Dr Sam ke Parlimen Malaysia. 

Jaraknya tidak jauh dari Putrajaya!

Bila mana 2 kerusi Parlimen Kuala Terengganu dan Kemaman yang telah diisytiharkan oleh Hakim Pilihan Raya sebagai berlakunya kesalahan ‘sogokan atau rasuah pilihan raya’, dan dengan itu telah mengisytiharkan bahawa lapor pilihan bagi kedua-dua Ahli Parlimen Kuala Terengganu dan Kemaman pada 19.11.2022 sebagai terbatal dan tidak sah, maka atas pertimbangan strategik dan bagi mengutamakan kebajikan rakyat terbanyak, PAS memilih untuk tidak merayu terhadap kedua-dua keputusan itu dan segera mengembalikan mandat ke mahkamah rakyat melalui Pilihan Raya semula. 

Maka suatu Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan bagi kedua-duanya. Datanya sebagaimana berikut:

[P.036 Kuala Terengganu] PRU15 – 19.11.2022]

Sumber: Warta Kerajaan: PU (B) 608 bertarikh 14.12.2022

Peratus pengundian: 79.16 peratus.

Undi PAS: 63,016.

Majoriti PAS: 40,907.

Keputusan pilihan raya semula bagi Parlimen Kuala Terengganu @ 12 Ogos 2023.

Peratus pengundian: 73.34 peratus.

Undi PAS: 63,369

Majoriti PAS: 47,266 [Pertambahan majoriti – 6,359 undi]

[P.040 Kemaman] PRU15 – 19.11.2022]

Sumber: Warta Kerajaan: PU (B) 608 bertarikh 14.12.2022

Peratus pengundian: 82.15 peratus.

Undi PAS: 65,714.

Majoriti PAS: 27,179.

Keputusan pilihan raya semula bagi Parlimen Kemaman @ 2 Disember 2023.

Peratus Pengundian: 65.76 peratus.

Undi PAS: 64,998.

Majoriti PAS: 37,220 [Pertambahan majoriti – 10,041 undi].

Dalam keadaan peratus keluar mengundi yang rendah, PAS meraih pertambahan majoriti sebanyak 6,359 undi di Kuala Terengganu dan 10,041 di Kemaman.

Secara tuntasnya, fitnah dan putar-belit yang kononnya PAS atau PN melakukan rasuah dan sogokan pada PRU15 yang lepas, atas alasan teknikal ‘sogokan / atau rasuah pilihan raya’ tidak dapat diterima oleh pengundi-pengundi dan rakyat di kedua-dua kawasan Parlimen tersebut. Bahkan ia nyata ditolak mentah-mentah oleh pengundi.

Hakikatnya – perkara subjek yang dianggap sebagai ‘sogokan atau rasuah pilihan raya’ adalah merupakan Bantuan Wang Tunai secara one-off Kerajaan Terengganu yang pada asalnya adalah sah, namun dianggap salah oleh Hakim Pilihan Raya dalam Petisyen Kuala Terengganu dan Kemaman, kerana majlis pengagihannya dilakukan dalam tempoh kempen pilihan raya. 

PAS tidak merayu terhadap keputusan Hakim Pilihan Raya Kuala Terengganu dan Kemaman (berdasarkan program Kerajaan Negeri yang sama) kerana ia masih boleh dihujahkan semula dalam rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam Petisyen Marang, iaitu melalui rayuan Umno atau BN apabila Petisyen mereka ditolak oleh Hakim Pilihan Raya Petisyen Marang.

Bertentangan dengan kedua-dua keputusan di Kuala Terengganu dan Kemaman, Hakim Pilihan Raya dalam Petisyen Marang, YA Dato’ Hassan bin Abdul Ghani pada 26.6.2023 memutuskan sebaliknya. 

Menariknya – Mahkamah Persekutuan pada 15.11.2023 secara sebulat suara (Panel 3 Hakim) mengesahkan penghakiman YA Datuk Hassan bin Abdul Ghani dan menolak rayuan Umno atau BN Terengganu.

Tidak perlu saya ulas panjang, sempena dengan kemenangan besar PRK Kemaman dan dengan menghantar YAB Dr Sam ke Parlimen Malaysia, cukup untuk kita semua amati penghakiman YA Dato Hassan bin Abdul Ghani pada 26.6.2023:

[Mengenai keabsahan program-program Kerajaan Negeri Terengganu yang masih belum dibubarkan pada PRU15]

[42] Mahkamah telah meneliti keterangan SD1 dan SD2 dan mendapati program-program bantuan i-Siswa dan i-BeIia telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Terengganu pada 7.9.2022. Oleh itu ianya merupakan program-program rasmi Kerajaan Negeri Terengganu.

[43] Mahkamah bersetuju dengan hujahan peguam responden bahawa apabila Bajet dibentang dan diluluskan oleh DUN maka Bajet adalah suatu undang-undang yang mempunyai kuat kuasa undang-undang.

[44] Merujuk kepada Bajet Kerajaan Negeri Terengganu, eksibit D5 dan DSA yang dibentangkan oleh YAB Menteri Besar dalam DUN Terengganu pada 15.11.2021 setelah diluluskan oleh DUN, telah diangkat dan diperkenan oleh KDYMM Tuanku Sultan Terengganu pada 27.1.2022 dan telah diwartakan pada 24.2.2022. Lihat Enakmen Terengganu A75, Enakmen Perbekalan 2022 — Warta Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman bertarikh 24.2.2022. Oleh kerana ianya adalah suatu Undang-undang atau Enakmen yang sedang berkuatkuasa pada masa matan maka Bajet ini tidak boleh menjadi suatu ‘subjek matter’ yang bersifat rasuah atau sogokan atau satu projek rasuah atau sogokan menurut Akta 5.

[Mengenai sama ada Bantuan Kerajaan Negeri Terengganu boleh dianggap suatu sogokan yang mempengaruhi pengundi]

[61] Dalam konteks kes ini, asas kenapa mahkamah menyatakan penerima-penerima ini perlu dipanggil adalah kerana senario dan dinamik politik telah berubah. Penerima-penerima bantuan ini adalah generasi pengundi pasca merdeka, pasca PRU14 yang celik undi, berpendidikan tinggi yang telah mengubah polar mengundi. Bantuan-bantuan kerajaan secara mutlak tidak lagi dapat meraih, membeli dan memancing undi kerana mereka sedar bantuan-bantuan itu adalah satu tanggungjawab sosial yang mesti dilaksanakan oleh kerajaan yang memerintah bagi membantu golongan yang memerlukan.

Jika kita menyusuri sejarah PRU yang lalu terutama PRU14 sumbangan-sumbangan yang telah diberikan seperti BRIM tidak sepenuhnya mempengaruhi kebebasan dan/atau hak pengundi. Oleh sebab itu parti-parti dan/atau calon-calon yang dilihat banyak memberi sumbangan dalam bentuk bantuan kewangan, pembangunan dan kemudahan sosial gagal untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya.

[63] .. Oleh sebab Responden telah memenangi P.037 dengan majoriti yang besar mahkamah berpendapat pemberian i-Siswa dan i-BeIia tidak memberikan kesan yang ketara ‘substantial effecf’ kepada keputusan pilihan raya.

[65] Polar pengundi telah berubah. Pengundi-pengundi tidak lagi boleh dimadukan atau digulakan sekadar melalui bantuan sahaja. Ledakan teknologi internet melalui facebook, Twitter, Instagram dan Tik Tok bukan sahaja berfungsi sebagai alat komunikasi tetapi telah menjadi satu platform yang menyebarkan dasar-dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan yang memerintah. Pengundi-pengundi dapat melihat, merasai dan menilai dasar-dasar ini manakala informasi mengenai pelbagai isu-isu yang menjadi masalah besar dalam kerajaan yang memerintah menyebabkan mereka mahukan suatu perubahan. Keadaan ini memberi ruang kepada pengundi-pengundi untuk beralih memberi sokongan kepada parti yang Iain. Perubahan dinamik politik menyebabkan berlakunya tsunami politik berbangkit daripada kesedaran pengundi-pengundi yang telah bijak untuk memilih. Oleh sebab itu apabila keputusan PRU15 diumumkan kita dapat melihat tokoh-tokoh politik yang terkenal tanpa perlu diperkenalkan telah mengalami kekalahan teruk dan sesetengah calon telah kehilangan wang deposit tidak sepadan dengan khidmat dan sumbangan yang telah diberikan oleh mereka kepada negara dan rakyat semasa menjadi pemimpin.

[66] Oleh itu untuk mengatakan pengundi-pengundi berdaftar Marang mengundi responden atau PAS kerana terpengaruh dengan bantuan i-Siswa, i-Belia, sampul hijau yang mengandungi gambar exco dengan isterinya, gambar exco tanpa isterinya, gambar responden dan lambang parti di paparan back drop, pemasangan bendera-bendera PAS dan ucapan SP10 yang mengajak mereka mengundi responden pada pandangan mahkamah adalah suatu alasan yang sangat dangkal dan cetek seolah-olah mengecilkan dan memperlekehkan kesedaran politik pengundi-pengundi berdaftar Parlimen Marang yang diterjemahkan melalui PRU15 dengan memilih responden sebagai Ahli Parlimen Marang. Kemenangan responden dengan majoriti yang besar ini adalah suatu mandat rakyat yang perlu diiktiraf dan dihormati oleh semua pihak.

[67] Pada pendapat mahkamah ini adalah suatu realiti keadaan politik semasa dan oleh sebab itu terdapat keperluan untuk kita melihat sama ada benar sogokan i-Siswa dan i-Belia ini telah berjaya meraih atau memancing undi mereka. Tanpa keterangan penerima-penerima bantuan seolah-olah kita telah membelakangkan pilihan, kesedaran, kebijaksanaan dan kehendak mereka yang inginkan responden dari parti PAS mewakili mereka sebagai Ahli Parlimen Marang. Adakah benar Sogokan i-Siswa dan i-BeIia mendorong penerima-penerima bantuan untuk mengundi responden hanya boleh dijelaskan oleh mereka. Tanpa keterangan penerima-penerima tidak ada bukti yang menunjukkan bantuan i-Siswa dan i-Belia telah mendorong mereka untuk mengundi responden atau parti PAS.

Setelah pengundi atau rakyat Kuala Terengganu mengesahkan kebijaksanaan Alasan Penghakiman bagi Petisyen Marang pada 12.8.2023, hari ini ia disahkan pula oleh pengundi atau rakyat Kemaman.

Pada masa kini, alasan penghakiman dalam Petisyen Marang menjadi undang-undang tertinggi di negara ini (atas isu yang sama) kerana ia telah disahkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 15.11.2023 yang lepas.

Umno atau BN bahkan sekutunya PH bergembira seketika sewaktu menyambut 2 keputusan itu, namun kini mereka menangis sambil menghantuk-hantuk kepala ke dinding.

Secara kumulatifnya, PAS atau PN memenangi ketiga-tiganya, iaitu keputusan melalui 2 Mahkamah Rakyat (Pilihan Raya Kecil) bagi Parlimen Kuala Terengganu dan Kemaman, dan memenangi gelanggang Mahkamah Persekutuan dalam rayuan Petisyen Marang.

Nyata sekali tindakan Umno atau BN Terengganu telah mengambil langkah songsang yang mengundang malapetaka politik yang paling dahsyat dalam sejarah politik moden masa kini, apabila memilih untuk memfailkan 3 Petisyen Pilihan Raya bagi 3 Bahagian Pilihan Raya iaitu P.037 [Marang], P.036 [Kuala Terengganu] dan P.040 [Kemaman]. 

Tentunya tidak sedikit wang, masa dan tenaga telah dibazirkan untuk membiayai keseluruhan perjalanan petisyen tersebut, yang walau pun menang petisyen itu bagi Parlimen Kuala Terengganu dan Kemaman, namun kegembiraannya hanya sementara – dan natijah akhirnya membawa malapetaka besar buat Umno atau BN.

Sebagai antara peguam yang turut bersama dalam mengendalikan keseluruhan perjalanan semua Petisyen Pilihan Raya itu di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan, saya boleh senyum dan menarik nafas lega. Walau hampir setahun menanggung gelora.

Keyakinan pimpinan PAS dalam membuat keputusan untuk tidak merayu, tentulah sangat cermat dan penuh kebijaksanaan.

Kini, saya merindui gelagat Mat Said dan gerombolannya, yang hampir setiap hari berada di pelbagai prosiding Mahkamah Pilihan Raya di Kuala Terengganu. Congakan saya, selama hampir setahun prosiding berlangsung, lebih dari 70 hari penuh kami bersama di gelanggang mahkamah.

Harapnya, Mat Said tidak serik untuk memfailkan Petisyen Pilihan Raya itu sekali lagi.

WAN ROHIMI WAN DAUD
Pengerusi LUHAM PAS Pusat
Kemaman, Terengganu Darul Iman – HARAKAHDAILY 6/12/2023

- Advertisement -
- Advertisement -