Negara tiada skim perlindungan pertanian

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan perlu menjelaskan perbezaan pelaksanaan antara Skim Insurans Takaful Agromakanan oleh pentadbiran kerajaan lalu dan Skim Takaful Tanaman Padi dirangka kerajaan sekarang.

Senator Hussin Ismail berkata, kedua-dua skim tersebut dirangka oleh kerajaan bagi memberi perlindungan dan bantuan kepada semua pihak yang terbabit dalam bidang agromakanan yang merangkumi sektor pertanian, penternakan dan perikanan di negara ini.

- Advertisement -

Menurutnya, selain perubahan iklim dunia termasuk fenomena El Nino yang menjejaskan sektor pertanian, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang tidak mempunyai skim perlindungan bagi menjamin industri itu terus bergerak pada masa depan.

“Minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan perbezaan Skim Insuran Takaful Agromakanan dan Skim Takaful Tanaman Padi yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi membantu melindungi kebajikan golongan yang terlibat dalam sektor pertanian.

“Usaha ini dilakukan dengan mengambil kira keadaan perubahan cuaca dalam negara dan peringkat global yang semakin melampau dan tidak menentu sejak akhir-akhir ini,” katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan Dewan Negara, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, kerajaan masih menggunakan kaedah perlindungan yang lama sebelum melancarkan Skim Takaful Tanaman Padi yang dijangka diadakan pada Mac tahun hadapan.

Katanya, kementerian bekerjasama dengan institusi kewangan seperti Agro Bank untuk membangunkan skim perlindungan bagi agromakanan dengan kadar pampasan yang lebih baik, berbanding pampasan Tabung Bencana Tanaman Padi.

“Ini bertujuan untuk melindungi komuniti pertanian yang terkesan dengan bencana alam seperti banjir, kemarau serta ancaman penyakit dan makhluk perosak, malah sebagai permulaan skim itu dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada sub-sektor tanaman padi.

“Skim ini akan menawarkan caruman pada kadar RM120 sehektar satu musim dengan kadar pampasan perlindungan sehingga RM3,000 sehektar semusim, tanpa had keluasan hektar, peswah yang membuat caruman akan menerima manfaat yang lebih baik.

“Berbanding pampasan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) sedia ada, TBTP hanya menawarkan RM1,800 satu hektar dan tuntutan adalah terhad kepada maksimum kepada tiga hektar sahaja dan kita berhasrat memperluaskannya ternakan, tanaman dan akuakultur,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/12/2023

- Advertisement -