“KAWASAN Kemaman itu dulu siapa menang, PAS kan? Baru ni siapa menang? PAS, jadi ia tiada nilai tambahlah kan.” – Datuk Seri Saifuddin Nasution.
Dulu, PAS tak bertanding. PRU14 baru PAS bertanding. Menang dengan hanya majoriti 2,163 undi.
Dulu, PKR dan BN bertanding kerusi Kemaman. PKR mula bertanding PRU10 (1999) dan menang mengalahkan BN dengan majoriti 1,535 undi.
Kini, PAS menang dengan majoriti 27,179 undi dalam PRU15.
Kini, PAS sekali lagi menang dengan majoriti 37,220 undi.
Tiada nilai tambah kepada PH-BN tetapi ada nilai tambah kepada PAS.
Walaupun dulu Kemaman kubu kuat Umno sebagaimana dakwaan Zahid, PAS menang dengan majoriti yang semakin bertambah.
Sama juga di Kedah yang merupakan kubu kuat Umno sejak daripada dahulu.
Dulu, PRU13 (2013), Umno kembali menerajui Kerajaan Negeri Kedah. PAS hanya tinggal 9 kerusi DUN.
Dulu, PRU14 (2018), PAS kembali memenangi 15 kerusi DUN, namun tidak cukup untuk menjadi kerajaan sebelum peralihan berlaku di pertengahan penggal.
Kini, PAS Kedah mencatatkan kemenangan 14-1 di Parlimen dan setahun kemudian menguasai kerusi DUN dengan 33-3.
Kini, dalam tempoh setahun juga menyaksikan peningkatan undi popular PAS atau PN daripada 55 peratus kepada 68.93 peratus.
Sepatutnya Menteri kena baca peralihan undi yang ketara dalam tempoh dekad yang terakhir ini.
Tambahan lagi dalam tempoh setahun ini juga menyaksikan undi PH-BN beralih kepada PAS dan PN.
Walaupun PH-BN bergabung sekalipun, undi kepada mereka tidak bertambah. Tiada nilai tambah.
Walaupun BN meletakkan calonnya, tiada pertambahan undi daripada ahli PH. Begitulah sebaliknya.
Walaupun Umno tuduh PAS rasuah dalam kempen PRU15 yang lalu, PAS tetap menang PRK di Kemaman ini. PAS tetap menang di Kedah dan beberapa kawasan lain yang menjadi kubu asal Umno.
Isyarat apa lagi yang PH-BN mahu?
Tidak cukupkah angka-angka ini menjadi bukti dan signal bahawa rakyat sudah muak dengan politiking PH-BN?
Pensyarah politik dari USM merumuskan;
“Hari ini kita melihat apabila berlakunya peningkatan majoriti besar itu, ia juga menandakan wujudnya satu aliran daripada penyokong mereka (PH-BN) sendiri yang bergerak ke PAS.”
Ini nilai tambah PAS dan PN. Apakah nilai tambah PH-BN?
USTAZ SALIM MAHMOOD AL HAFIZ
Ketua Penerangan
PAS Negeri Kedah
6 Disember 2023 – HARAKAHDAILY 6/12/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!