‘Impian Malaysia’ atau Impian DAP?

Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.
- Advertisement -

BEBERAPA hari lalu veteran DAP Lim Kit Siang dalam tulisan terbaharunya menyatakan bahawa “Perlembagaan Malaysia menjanjikan Impian Malaysia dan bukannya impian etnik tunggal memandangkan perlembagaan ini tidak menghalang seorang bukan Melayu dari menjadi seorang Perdana Menteri”.

- Advertisement -

Kenyataan ini tidaklah mengejutkan kerana inilah sebenarnya aqidah perjuangan DAP yang memperjuangkan Malaysia sebagai sebuah negara sekular sebagaimana termaktub dalam perlembagaannya. Lebih daripada itu, beliau pernah menyebut dalam ucapannya di parlimen pada tahun 2008 bahawa majoriti terbesar rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama; tidak menyetujui bahawa Malaysia pada hari ini adalah sebuah negara Islam.

Pada 2012, mendiang Karpal Singh juga pernah menyebut perkara yang sama bahawa beliau akan berjuang bagi memastikan orang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri Malaysia kerana dalam Perlembagaan Persekutuan tidak meletakkan syarat seorang Perdana Menteri mestilah beragama Islam dan berbangsa Melayu.

Kenyataan sebegini jika diukur sebenarnya termasuk dalam ruang lingkup isu 3R yang diratibkan oleh pimpinan PH/BN pada hari ini. Namun apakan daya; ‘kerajaan kami, ikut kamilah nak buat apa pun’.

Dari sudut yang lain, tiada apa yang pelik dengan kenyataan Lim Kit Siang ini kerana ia selari dengan agenda ‘Malaysia Malaysian’ yang diperjuangkan DAP selama ini seterusnya menunjukkan perjuangan agenda tersebut tidak pernah luntur.

Kita tidak lupa dengan polemik isu ICERD iaitu konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menjadikan hak asasi sebagai instrumen untuk menghapuskan diskriminasi dan mempromosikan kefahaman hak asasi di antara kaum. Ia dipelopori oleh badan-badan organisasi bukan kerajaan dan didukung oleh kerajaan PH ketika menjadi kerajaan 22 bulan selepas PRU14 yang lalu. Mereka berjuang bagi memastikan agenda ini berjaya dengan alasan ianya selaras dengan manifesto PH.

Demonstrasi besar-besaran di seluruh negara terutamanya di Kuala Lumpur pada 8 Disember 2018 yang menghimpunkan lebih daripada 500,000 orang khususnya orang Melayu/Bumiputera Sabah dan Sarawak benar-benar membuka mata banyak pihak terutamanya kerajaan ketika itu bahawa usah bermain dengan api agama dan perkauman demi kepentingan politik dan peribadi. Akhirnya usaha ini tidak berjaya setelah Pejabat Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) menyatakan pendirian tidak akan meratifikasikan ICERD.

Sebagai seorang rakyat Malaysia yang beragama Islam, perlu difahami bahawa Perlembagaan Persekutuan yang ada pada hari ini adalah kesinambungan daripada undang-undang tubuh negeri yang telah berakar umbi di Tanah Melayu sejak ratusan tahun. Perlembagaan Persekutuan tidak wujud dengan begitu sahaja, sudah tentu ia mengambil kira undang-undang tubuh negeri yang diamalkan di Tanah Melayu sebelum itu. Antara kandungannya ialah syarat seorang ketua negeri atau Menteri Besar mestilah dari kalangan orang Islam yang berbangsa Melayu sebagaimana undang-undang tubuh negeri Kedah, Perak, Selangor, Kelantan, Johor dan Terengganu.

Apa yang menarik, jika diteliti pembentukan Perlembagaan Persekutuan itu sendiri sebenarnya mempunyai roh siyasah syari’iyyah walaupun tidak dinyatakan secara jelas ketika ianya digubal khususnya konsep al-Imamah dan kepentingan kaum yang berpengaruh menjadi tonggak kestabilan satu-satu pemerintahan. Ia bersandarkan kepada sabda Nabi SAW yang bermaksud: ” Pemimpin-pemimpin itu hendaklah daripada qabilah Quraisy”, (al-Baihaqi). Berdasarkan hadis ini; para ulama meletakkan syarat ketua kepada pemerintahan Islam mestilah dipimpin oleh individu dari kaum yang paling berpengaruh pada zamannya.

Hatta dalam konteks negara yang mengamalkan sistem demokrasi pada hari ini pun tidak melantik kaum lain menjadi ketua negara. Negara Jepun melantik Perdana Menteri dari bangsa Jepun, negara Perancis melantik Presidennya dari bangsa Perancis dan begitulah seterusnya.

Mungkin juga mereka mendakwa; kenapa Amerika Syarikat boleh melantik Barrack Obama menjadi Presiden sedangkan beliau dari keturunan kulit hitam yang bukan majoriti atau United Kingdom yang dipimpin oleh Rishi Sunak dari kaum minoriti India. Perlu diketahui; Amerika Syarikat adalah negara yang dihuni oleh golongan pendatang maka tidak ada unsur ketuanan kaum tertentu. Manakala United Kingdom pula adalah sebuah negara sekular yang meletakkan kesamarataan agama dan kaum. Berbeza dengan Malaysia yang mempunyai jatidirinya tersendiri maka usahlah dibuat perbandingan semudah itu.

Boleh difahami, di sebalik kenyataan sebegini sebenarnya seolah-olah mahu menutup dan mengaburi mata umum akan kelemahan kerajaan yang ada pada hari ini yang sedang berhadapan dengan pelbagai kritikan dari segenap sudut.

Kestabilan dan kemakmuran yang dijanjikan umpama menunggu bulan jatuh ke riba, reformasi yang diperjuangkan selama ini hanya manis mulut dibibir. Jelas manifestasi rakyat menolak kerajaan PH/BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman baru-baru ini apabila berlaku pertambahan besar undi majoriti kemenangan PAS/Perikatan Nasional melebihi 10,000 undi.

‘Impian Malaysia’ yang terbaik sebenarnya terletak ditangan rakyat Malaysia dan akan menjadi lebih baik jika PERIKATAN NASIONAL menjadi tonggak pentadbiran negara.

Ketika wabak pandemik Covid-19 melanda negara, setiap rakyat Malaysia dijaga kebajikannya dan dipelihara keselamatannya.

Tidak dikira anutan atau pengangan politik, setiap lapisan masyarakat dijaga dan dilayan sama adil dan sama rata. Begitu juga ahli politik yang membabitkan Ahli Parlimen dan ADUN, tetap diberikan peruntukan walaupun tidak bersama kerajaan ketika itu dan berlainan parti politik. Inilah yang dilakukan PERIKATAN NASIONAL yang menjadi kerajaan ketika itu dalam usaha untuk mengekalkan kepelbagaian, kemakmuran dan keharmonian yang wujud selama ini.

Itulah sebenarnya ‘Impian Malaysia’, ‘Adil, Prihatin dan Berkebajikan’ sebagaimana motto PAS ketika ini. Impian yang ingin terus mengekalkan kepelbagaian, kemakmuran dan keharmonian yang wujud seterusnya mengangkat kembali Malaysia ke landasan yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang di mata dunia. Apa yang jelas; ‘Impian Malaysia’ yang dimomok itu adalah impian DAP sebenarnya bukan impian rakyat Malaysia yang menolak politik murahan mereka yang tamak haloba dan tak sedarkan diri.

Adil, Prihatin dan Berkebajikan

YB DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 6/12/2023

- Advertisement -