Mencari seorang negarawan

- Advertisement -

PILIHAN Raya Kecil Kemaman Sabtu lepas telah menghasilkan keputusan yang menepati ramalan. PAS yang mewakili PN menang dengan majoriti 37,220. Calon PAS yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, memperolehi 64,998 undi meninggalkan calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor jauh di belakang dengan 27,778 undi.

Sebelum pilihan raya tersebut, kemenangan PAS telah memang dijangka dan BN tidak dilihat akan dapat memberi tentangan yang sengit walaupun gabungan itu adalah sebahagian dari Kerajaan Persekutuan. Tetapi PRK tersebut mula menarik perhatian seluruh negara apabila PAS menamakan Dr Samsuri sebagai calon.

Jika pada asalnya PRK itu adalah hanya untuk memilih seorang Ahli Parlimen tetapi pemilihan Dr Samsuri memberi satu harapan baharu kepada rakyat Malaysia. Di dalam keadaan rakyat telah bosan dengan kepimpinan Kerajaan Pusat yang dilihat sebagai gagal menawarkan penyelesaian kepada masalah harian mereka, Dr Samsuri dilihat akan dapat mengukuhkan barisan kepimpinan PN di Parlimen. Malah ada yang mengharapkan beliau ditabalkan sebagai PMXI (Perdana Menteri Ke 11).

PRK Kemaman juga berlaku ketika gabungan PH-BN dikejutkan oleh satu kajian Merdeka Centre yang melaporkan kadar penilaian kelulusan Anwar sebagai Perdana Menteri merosot kepada 50 peratus daripada 68 peratus pada Disember 2022. Sementara peratus keseluruhan rakyat yang menganggap Malaysia menuju ke arah yang salah meningkat dari hanya 29 peratus pada Disember 2022 kepada 60 peratus pada Oktober 2023. Orang Melayu dengan peratusan tertinggi sebanyak 67 peratus diikuti dengan orang India sebanyak 61 peratus dan orang Cina 54 peratus.

Masalah ekonomi merupakan kebimbangan utama rakyat. Kos sara hidup yang meningkat menghimpit rakyat dan kerajaan kelihatan tidak dapat menawarkan jalan penyelesaian yang berkesan. Kejatuhan nilai Ringgit berbanding dolar Amerika dan dolar Singapura bukan sahaja menjadi bahan bualan mereka yang sering ke luar negara atau mereka yang mengimport barang-barang dari luar negara. Menurut laporan yang sama, peratus rakyat yang bimbang dengan keadaan ekonomi adalah 81.1 peratus bagi orang Melayu, 69.3 peratus bagi orang Cina dan 81.2 peratus bagi orang India.

Pimpinan Kerajaan Madani telah tidak menganggap serius kajian yang dibuat dengan memberi alasan ia berdasarkan sample (bilangan mereka yang memberi maklum balas) adalah kecil. Sudah tentu mereka telah dihinggapi sindrom penafian (denial syndrome) dan ini akan menguntungkan pembangkang yang hari ini sarat dengan peluru-peluru untuk membedil kerajaan di dalam dan di luar Parlimen. Tetapi ianya satu berita buruk buat rakyat kerana sudah tentu Kerajaan Madani enggan berubah akibat merasakan berada di landasan yang betul justeru rakyat akan terus menderita. Kecuali jika kerajaan bertukar dalam masa yang terdekat.

Rakyat hari ini kecewa kerana mereka tidak melihat Perdana Menteri dan Menteri-menteri melakukan sesuatu yang efektif untuk menyelesaikan masalah negara dan rakyat. Walau bagaimanapun mereka dilihat sibuk bermain politik. Mereka sibuk menyerang pembangkang walhal tenaga dan masa mereka sepatutnya ditumpukan kepada usaha-usaha untuk menyelesaikan masalah. Dengan bertindak sedemikian mereka tidak dilihat sebagai pemimpin negara atau pemimpin rakyat tetapi hanya sebagai pemimpin parti. Sepatutnya selepas pilihan raya berakhir, ketepikan sentimen politik tetapi tindakan-tindakan seperti penafian peruntukan Ahli-ahli Parlimen dan isu royalti petroleum yang berpanjangan menunjukkan ini tidak berlaku.

Rakyat Malaysia memerlukan negarawan-negarawan untuk mentadbir negara ini. Kita tidak memerlukan pemimpin-pemimpin politik yang pandai berhujah atau berpidato. Ucapan-ucapan yang bombastik boleh membuat mereka yang mendengar terpegun tetapi ia tidak akan mengukuhkan nilai Ringgit atau menurunkan harga barang keperluan harian. Kita memerlukan negarawan yang dapat dilihat bekerja untuk rakyat dan bukan untuk parti mereka atau untuk mempromosikan diri mereka. Negarawan yang dapat bekerja dengan semua pihak dan bukan menyimpan dendam terhadap mereka yang tidak memberi sokongan.

Justeru apabila Dr Samsuri atau Dr Sam menang di Kemaman sudah tentu terdapat mereka di dalam pakatan PH-BN yang kepanasan. Ada yang membandingkan majoriti 37,220 Dr Sam dengan majoriti 3,736 Perdana Menteri ke-10 (PMX) di Tambun. Ada yang membandingkan gaya kepimpinan Dr Sam sebagai Menteri Besar di Terengganu dengan gaya kepimpinan PMX sebagai Perdana Menteri. Walaupun kemenangan satu kerusi di Pantai Timur itu tidak akan membuat Kerajaan Pusat bertukar namun ia mendedahkan rakyat kepada gaya kepimpinan yang berbeza. Rakyat sudah bosan dengan drama politik yang tidak berkesudahan dan rakyat dapat menyaksikan alternatifnya.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH)
5 Disember 2023 – HARAKAHDAILY 5/12/2023

- Advertisement -
- Advertisement -