Kepimpinan ulamak di dalam PAS terus relevan

- Advertisement -

TIDAK semena-mena sebaik sahaja PRK Kemaman berakhir, politikus veteran DAP, Lim Kit Siang, berkomentar supaya Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (TGHH), memberi laluan kepada Dr Ahmad Samsuri Mokhtar untuk menerajui parti. Kit Siang sekali lagi mengulangi prejudis beliau terhadap PAS, di bawah kepimpinan Tuan Guru Haji Abdul Hadi, PAS membawa aliran ekstremis dan fundamentalis. Menurut Kit Siang, sekiranya PAS tidak di bawah kepimpinan ulamak, PAS akan lebih moderate dan modernis berbanding sekarang.

Sejujurnya saya tidak boleh menyelami apakah niat Kit Siang berkomentar seperti itu, sebaik sahaja kemenangan besar Dr Ahmad Samsuri baru-baru ini? Namun yang jelas, beliau dan DAP sangat tidak menggemari PAS berada di bawah kepimpinan Tuan Guru Haji  Abdul Hadi, sebagaimana yang pernah dimomokkan oleh anak beliau, Lim Guan Eng, lama sebelum ini, “DAP boleh terima PAS tetapi tidak Presiden PAS“. Yang jelas juga, hari ini politik Malaysia menyaksikan pertembungan sengit PAS dan DAP.

Pertembungan sengit PAS dan DAP semakin terbuka, apabila setiap kali pilihan raya termasuklah PRK Kemaman baru-baru ini, pengundi-pengundi Melayu semakin bersolidariti mengundi PN khususnya PAS. Manakala pengundi-pengundi Cina pula, seperti yang diperhatikan di dalam pilihan raya – pilihan raya sebelum ini, solid mengundi PH khususnya DAP. Dengan pengertian lain, pertembungan antara PAS dan DAP boleh dilihat sebagai pertembungan politik Islam dan politik Cauvinisme.

Dukungan PAS terhadap politik Islam dan perjuangan untuk mencapai matamatnya, bukanlah hanya bermula semasa era kepimpinan Tuan Guru Haji Abdul Hadi, malah sejak lahirnya PAS pada tahun 1951. Cuma dukungan tersebut semakin bersemarak semasa era Kepimpinan Ulamak bermula awal 1980-an. Kepimpinan Tuan Guru Haji Abdul Hadi adalah penerusan kepada era Kepimpinan Ulamak. Malah sosok ulamak yang pada Tuan Guru Haji Abdul Hadi memperkukuhkan lagi kepimpinan ulamak di dalam PAS.

Para ulamak yang menjadi pemimpin utama PAS adalah pemegang obor akidah perjuangan PAS, yang menyuluhi para anggota parti dalam melangsungkan perjuangan. Mereka adalah ideologue yang membingkai perjuangan, sementara golongan teknokrat atau profesional berperanan membumikannya dalam aktivisme politik dan kehidupan sosial. Peranan ulamak kekal relevan di dalam PAS bagi memastikan naratif yang dibawa bersifat ideologi. Maka, Kepimpinan Ulamak tidak akan berakhir seperti yang diimpikan DAP. 

Semasa krisis dalaman PAS tahun 2008 sehingga 2015, pernah wujud golongan yang cuba menghumban Kepimpinan Ulamak di dalam PAS. Mereka membuat desakan demi desakan dengan menonjolkan figura-figura teknokrat atau profesional di dalam PAS untuk menerajui parti. Alasan mereka, rakan-rakan komponen di dalam PR lebih selesa dengan golongan teknokrat atau profesional. Manakala golongan ulamak dikatakan sebagai golongan jumud dan sempit, samalah seperti yang Kit Siang bangkitkan.

Bagaimanapun, ahli-ahli PAS tidak termakan dengan naratif momokan golongan yang mesra DAP ini. Hasrat mereka untuk menghakis Kepimpinan Ulamak, akhirnya mereka pula yang dihumban di dalam Muktamar PAS pada tahun 2015. Hari ini di dalam PAS, golongan teknokrat dan profesional terus subur berperanan di bawah naungan Kepimpinan Ulamak. Tiga Menteri Besar dari empat negeri yang diketuai oleh PAS termasuklah Dr Ahmad Samsuri sendiri, adalah dari golongan teknokrat dan profesional.

PAS terus kukuh dengan para ulamak sebagai ideologue yang membingkai parti, sementara teknokrat dan profesional membumikannya. 

DR MOHD ZUHDI MARSUKI – HARAKAHDAILY 5/12/2023

- Advertisement -
- Advertisement -