Kren gantri baharu tambah kecekapan operasi pelabuhan

- Advertisement -

KEMAMAN: Penambahan dua kren gantri baharu di Dermaga Timur Pelabuhan Kemaman membolehkan kecekapan operasi bertambah sekali ganda.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata demikian ketika memulakan tugas pertama sebagai Ahli Parlimen Kemaman yang baharu dengan melawat Pelabuhan Kemaman di sini, hari ini. (Foto atas)

Menurut beliau, kren berkenaan dijangka memulakan operasi selewat-lewatnya bulan Mac tahun hadapan sekali gus membawa kepada limpahan ekonomi untuk penduduk daerah ini.

“Alhamdulillah pada hari ini berlangsung upacara menandatangani (MOU) dengan rakan strategik bagi Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) yang merupakan sebuah anak syarikat kerajaan negeri.

“Bersempena dengan majlis menandatangani

hari ini, saya melawat Dermaga dan melihat persiapan untuk kren berjalan dan dijangkakan kalau tiada apa-apa masalah posmoterm tahun hadapan akan beroperasi.

“Pengoperasian kren ini akan membolehkan kecekapan bertambah sekali ganda lagi dan bila ianya dapat ditambah tentulah dari segi kekerapan kapal-kapal masuk pun akan bertambah dan ini akan memberi kelebihan juga kepada pemain industri yang beroperasi di kawasan ini. Jadi tahniah kepada EPIC dan seluruh warga kerjanya,” katanya.

Ahmad Samsuri yang juga Adun Ru Rendang berkata pertambahan kapal yang masuk ke pelabuhan itu juga akan meningkatkan kitaran ekonomi di kawasan berkenaan.

“Bila ia tumbuh dengan lebih baik itulah selepas ini syarikat lain juga tertarik untuk datang ke daerah Kemaman terutama di pelabuhan-pelabuhan daerah ini,” katanya.

Dalam masa sama kata beliau, situasi tersebut membolehkan lebih banyak peluang pekerjaan dapat ditawarkan kepada warga tempatan. – HARAKAHDAILY 4/12/2023

- Advertisement -