Tiga tahun penduduk menderita hidu bau busuk, asap

- Advertisement -

KLANG: Penduduk di tujuh kampung menderita bau busuk dan asap kesan daripada pelupusan sampah secara haram di Batu 14, Kapar, di sini, sejak tiga tahun lalu.

- Advertisement -

Tujuh kampung terjejas itu ialah di Kampung Sungai Serdang, Jalan Suara, Tambak Jawa, Kampung Batu 12, Kampung Tok Muda, Kampung Bukit Kerayong dan Kampung Bukit Kapar.

Tinjauan baru-baru ini mendapati timbunan sampah di persimpangan simpang jalan sekitar ini masih kelihatan dan mengeluarkan bau yang sangat busuk.

Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali berkata, pihaknya menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas termasuk mewujudkan pasukan khas bagi menangani isu berkenaan yang berlarutan sejak sekian lama.

Katanya lagi, beliau telah menerima reaksi yang mengecewakan apabila Majlis Perbandaran Klang (MPK) hanya akan mengambil tindakan pemantauan malah tiada penyelesaian tuntas untuk membersihkan timbunan sisa industri.

“Saya sendiri telah berkali-kali membawa suara penduduk di dalam sidang Parlimen bagi memastikan masalah penduduk ini diberi perhatian serius.

“Saya mendesak kerajaan Pusat, kerajaan negeri Selangor mencari solusi tuntas untuk menoktahkan isu pencemaran alam natijah dari pembuangan sampah di tapak haram di Batu 14, Jalan Kapar.

“Kesan bau dan asap dari pembakaran berterusan di lokasi ini mengakibatkan penduduk sekeliling diserang gangguan pernafasan, selesema, batuk dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Oleh demikian, katanya, pihak penduduk di situ telah menubuhkan satu badan iaitu ‘Badan Bertindak Kapar’ bagi menuntut pihak bertanggungjawab untuk segera bertindak.

“Kerajaan tidak boleh hanya bertindak secara reaktif. Bagi pihak penduduk (Kapar), saya menuntut tindakan bersepadu di antara agensi kerajaan. Jangan di tinggal separuh jalan.

“MPK mengatakan mereka telah mengangkut 70 lori sampah namun, yang masih tinggal masih membukit tinggi. Kebakaran masih tidak selesai,” katanya lagi.

Menurut laporan, 100 penduduk mengadakan bantahan secara aman di tapak pelupusan sampah haram di Batu 12 Kapar, di sini, pada Ahad. – HARAKAHDAILY 4/12/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!