Kemenangan Dr Sam adalah mood rakyat Malaysia 

- Advertisement -

SEPERTI aku jangka Dr. Sam (Dr Samsuri) menang Pilihan Raya Kemaman. Paling ketara, sokongan kepada calon PN berjaya dikekalkan manakala undi PH+BN menurun. 

Ketika PRU-15 kalau dicampur undi PH+BN adalah sebanyak 46,875, tapi ketika PRK Kemaman undi BN menurun sebanyak 27,778. PH+BN hilang 19,097 undi. 

Kenapa PH+BN hilang undi sangat banyak? Ada beberapa faktor sebenarnya. 

Faktor pertama adalah vote transferability dari PH ke BN masih tidak berlaku. 8,340 pengundi PH pada PRU15 tidak pulang untuk memberikan undi kepada calon BN. 

Penyokong PH masih beranggapan BN merupakan sebuah parti yang menumpang Kerajaan PH. Mereka tidak merasakan keperluan untuk membantu calon BN menang dalam pilihan raya. 

Faktor kedua adalah tindakan Anwar Ibrahim yang menyekat hak royalti rakyat Terengganu. Sehingga hari ini masih berbaki RM1 bilion royalti yang masih belum dibayar. Anwar Ibrahim pula ketika kempen pilihan raya dengan penuh sombong menyatakan Kerajaan Pusat tidak akan salurkan royalti menerusi Kerajaan Negeri.

Faktor ketiga adalah kegagalan Anwar Ibrahim untuk tunaikan janji pilihan raya kepada rakyat. Harga barang semakin hari semakin meningkat, kos sara hidup juga meningkat, Ringgit terus menjunam, paling tak boleh terima bahan keperluan asas pun susah nak dapat di pasaran. Bayangkan rakyat kena beratur untuk beli beras. Mudah cerita, rakyat melihat kerajaan ini gagal.

Faktor keempat, adalah tindakan Lim Kit Siang yang sehari sebelum hari mengundi, telah membuat satu hantaran dalam Facebook yang mahu bukan-Islam menjadi Perdana Menteri. 

Ini merupakan tindakan jelas mencabar kedudukan orang Melayu dalam negara kita. Pengundi Parlimen Kemaman yang majoritinya adalah pengundi Melayu Islam sudah tentu tidak dapat menerima tindakan ini. 

Terima kasih Lim Kit Siang kerana membantu calon PAS di Kemaman. 

Faktor kelima adalah prestasi Ahli Parlimen dan ADUN sesi lepas yang bekerja keras memberikan khidmat terbaik kepada rakyat Kemaman. Ustaz Alias, YB Hanafiah dan Cikgu Razak, memberikan khidmat bakti tanpa mengira latar belakang rakyat. Pantang ada rakyat susah, merekalah orang pertama yang akan turun. 

Faktor keenam adalah ketokohan Dr. Sam yang sememangnya diakui oleh para pengundi. Kejayaan Dr. Sam mentadbir Negeri Terengganu dengan baik telah memikat hati para pengundi. Idea menghantar Dr. Sam ke Parlimen supaya dapat membantu menyelamatkan Malaysia dari Kerajaan Madani yang gagal juga dipersetujui oleh pengundi Kemaman.

Melihat mood rakyat pada hari ini, aku yakin rakyat dah tak sabar nak bawa turun Kerajaan Madani ini. Dengan kehadiran Dr. Sam ke Parlimen, bertambah mantap barisan Ahli Parlimen yang boleh mengisi kedudukan dalam kerajaan baru nanti. Setuju tak?

NURUL ISLAM MOHAMED YUSOFF
Penganalisis Politik Malaysia – HARAKAHDAILY 4/12/2023

Sumber Asal: https://www.facebook.com/share/p/FcL3YaWPDHhJiNQS/?mibextid=xfxF2i 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -