Anwar lebih layak jadi Ketua Pembangkang – Fadhli jawab Fahmi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah lebih layak untuk menjadi Ketua Pembangkang berbanding mencadangkan Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ke jawatan itu.

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menyatakan demikian sebagai menjawab cadangan oleh Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dalam reaksi terhadap kemenangan Samsuri pada PRK P.040 Kemaman.

Tegas Ahmad Fadhli, tiada perbincangan di pihak PAS mahupun Perikatan Nasional (PN) untuk menggantikan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin dan tidak ada masalah dengan Setiausaha Agung BERSATU itu.

“Saya rasa (Dato’ Seri Hamzah) telah melaksanakan fungsinya dengan baik. Tetapi kerana perbincangan ini telah dibuka, saya juga nak cadangkan bahawa sebenarnya Ketua Pembangkang ini orang yang paling layak untuk menyandangnya ialah Dato’ Seri Anwar Ibrahim iaitu Perdana Menteri pada hari ini.

“Beliau lebih layak untuk menjadi Ketua Pembangkang. Kenapa saya kata begitu? Kerana ketika beliau menjadi Ketua Pembangkanglah segala idea-idea yang hebat-hebat keluar. Kerajaan tak pandai jaga nilai Ringgit yang turun.

“Kemudian minyak tak mahu turun harga kerana beliau tak jadi Perdana Menteri. Jadi beliau pandai untuk mengemukakan idea-idea ini. Tetapi beliau boleh jadi Perdana Menteri kita melihat bahawa idea-idea ini tak dapat dilaksanakan.

“Dan beliau lebih suka untuk berpolemik, berwatak seperti Ketua Pembangkang tidak sebagai Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia. Jom sama-sama kita berusaha supaya beliau dapat menjadi Ketua Pembangkang. 

“Insya-Allah Perdana Menteri kita boleh cari orang lain. Itu lebih baik,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mengembalikan jawapan balas kepada Menteri Komunikasi dan Digital tersebut. – HARAKAHDAILY 3/12/2023

- Advertisement -
- Advertisement -