Peniaga mi cedera di perut akibat ditikam pelanggan

Foto daripada video tular.
- Advertisement -

IPOH: Polis Daerah Ipoh telah terkesan beberapa video dan gambar yang ditular melalui media sosial Facebook memaparkan satu kejadian mendatangkan kecederaan dengan menggunakan pisau.

- Advertisement -

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan berkata, ia melibatkan peniaga makanan di sebuah restoran di Ipoh yang mana telah menarik perhatian masyarakat umum.

Katanya, semakan pihak polis mendapati bahawa kejadian tersebut telah berlaku semalam, lebih kurang jam 6.00 pagi di dalam sebuah restoran di Taman Cemerlang Rapat.

Menurutnya, mangsa dalam kes ini merupakan seorang lelaki Cina berumur 44 tahun yang menjalankan perniagaan makanan mi di restoran itu.

“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian perut akibat ditikam dengan menggunakan senjata pisau oleh suspek, seorang pelanggan lelaki yang tidak dikenali,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Katanya, mangsa kini berada dalam keadaan stabil setelah menjalani pembedahan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Sehubungan itu, ujarnya satu laporan polis telah dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen  324   Kanun Keseksaan (mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata pisau).

Kini, katanya pihak polis sedang giat mengesan suspek yang masih bebas untuk membantu siasatan.

Di samping itu, ujarnya pihak polis ingin meminta kerjasama daripada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Kawalan Daerah (DCC) IPD Ipoh di talian 05-254 2222. – HARAKAHDAILY 3/12/2023

- Advertisement -