Impian Malaysia atau impian DAP?

- Advertisement -

AMERIKA Syarikat sebuah negara demokrasi. Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat 1776 menyebut ‘all men are created equal’ with the right to ‘life, liberty, and the pursuit of happiness’. Inilah asal usul ‘American Dream’.

Tetapi orang kulit hitam di Amerika Syarikat hanya diberikan hak mengundi pada tahun 1870, iaitu 94 tahun selepas itu. Obama muncul sebagai orang kulit hitam pertama menjadi Presiden Amerika Syarikat pada tahun 2009, iaitu 233 tahun selepas perisytiharan kemerdekaannya. Itupun ibunya kulit putih.

Di Malaysia, orang bukan-Melayu tidak perlu menunggu selama itu untuk mendapat hak mengundi. Pada Pilihan Raya Umum 1955, iaitu dua tahun sebelum Merdeka, orang bukan-Melayu telah pun mendapat hak untuk mengundi dan pemimpin kaum bukan-Melayu seperti Tun Tan Siew Sin dan Tun Sambanthan telah menjadi menteri dalam Kabinet Persekutuan sejak dari awal lagi. 

Malaysia lebih hebat dari Amerika Syarikat.

[Nota: Saya tidak berniat untuk menyamakan orang bukan-Melayu di Malaysia dengan orang kulit hitam di Amerika Syarikat dari segi taraf hidup dan sejarah asal-usul keberadaan di kedua-dua negara. Saya hanya merujuk kepada kedua-duanya dalam konteks wacana mengenai kesamarataan hak politik].

Lim Kit Siang menulis mengenai ‘Malaysian Dream’. Beliau ingin melihat orang bukan-Melayu di Malaysia menjadi Perdana Menteri dalam tempoh yang lebih cepat berbanding orang kulit hitam menjadi Presiden di Amerika Syarikat. Dalam nafas yang sama beliau mengecam konsep etnik tunggal (boleh difahami sebagai dominasi Melayu atau hanya orang Melayu boleh menjadi Perdana Menteri). 

Dalam dekad-dekad sebelum ini, DAP memang tidak menyukai politik Malaysia yang dikatakan bersifat ‘Malay dominance’ atau dikuasai oleh orang Melayu. Oleh kerana dominasi Melayu inilah, DAP mengatakan orang bukan-Melayu di Malaysia adalah rakyat kelas kedua. Ini menjadi modal kempen DAP dalam pilihan raya untuk memancing undi bukan-Melayu.

Ya, Lim Kit Siang tidak salah. Perlembagaan tidak menghalang orang bukan-Melayu menjadi Perdana Menteri.

Tetapi Perlembagaan juga mengandungi perkara-perkara lain yang penting. Misalnya Perkara 153 mengenai tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak Negeri Sabah dan Sarawak serta hak-hak yang sah untuk semua kaum.

Ini pasak penting Perlembagaan negara kita yang berbilang kaum, iaitu mengiktiraf kepentingan masyarakat Bumiputera dan bukan-Bumiputera. Keseimbangan antara kedua-dua ini adalah kunci kepada kestabilan politik dan keharmonian kaum.

Tetapi ideologi DAP tidak mahu mengiktiraf pasak penting ini. Deklarasi Setapak 1967 yang menjadi asas ideologi DAP tidak mengiktiraf klasifikasi Bumiputera dan bukan-Bumiputera. Deklarasi tersebut menegaskan:

“Classifying citizens into bumiputera and non-bumiputera, discriminating against citizens in matters of appointments, particularly in the public sector and now increasingly in the private sector, on the grounds of race, are hardly calculated, in our views, to strengthen the sense of national consciousness and solidarity in a multiracial nation”.

Ini bermakna, DAP secara ideologinya menentang peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memberi tanggungjawab kepada YDPA untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dengan menyediakan kuota dalam pelantikan ke dalam perkhidmatan awam, pemberian biasiswa dan kelulusan lesen-lesen perniagaan untuk kaum Bumiputera. 

Walaupun pemimpin DAP mengatakan mereka tidak menolak Perkara 153, ideologi yang terkandung dalam Deklarasi Setapak 1967 masih dipertegaskan oleh parti itu sehingga ke hari ini. Di laman sesawang DAP tertera kenyataan ini:

“The Setapak Declaration affirms DAP’s viewpoint that in the process of nation-building, ethnic equality must be made the paramount principle, and it is upon this principle that the separation of citizens into ‘Bumiputra’ and ‘non- Bumiputra’ is strongly opposed.”

Maknanya, sehingga ke hari ini, DAP masih tegas dengan ideologinya yang menolak klasifikasi Bumiputera dan bukan-Bumiputera seperti diperjelaskan dalam Deklarasi Setapak 1967. Jika mereka tidak mengiktiraf kewujudan masyarakat Bumiputera, maka tidak akan adalah sebarang dasar untuk membantu kaum Bumiputera di bawah sebuah kerajaan yang dikuasai oleh DAP. 

Apatah lagi sekiranya suatu hari nanti, seperti yang diimpikan oleh Lim Kit Siang, Perdana Menteri adalah dari parti DAP.

Dalam Deklarasi Setapak 1967, DAP juga tidak mengiktiraf orang Melayu sebagai masyarakat majoriti dan sebarang dasar yang bertujuan membantu orang Melayu dilihat oleh parti itu sebagai mencabul prinsip kesamarataan. 

“The Malays do not constitute a national majority, either do the Chinese, nor the Indians, nor anybody else. In other words, any single community in Malaysia, by itself is outnumbered by the rest. And thereby hangs the obvious lesson that any attempt to violate the principle of racial eqality in Malaysian society must lead to inevitable and catastrophic failure”.

Ini juga bercanggah dengan Perlembagaan. Walaupun Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan mengenai kesamarataan, tetapi ia juga memberi pengecualian terhadap perkara-perkara yang disebut dengan jelas dalam Perlembagaan seperti Perkara 153. Ini bermakna, pengecualian kepada prinsip kesamarataan dalam Perlembagaan ini juga ditolak oleh DAP.

Bagi saya, ideologi DAP mengenai hak kesamarataan dan hak kaum Bumiputera atau bukan-Bumiputera adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan baik secara tersurat atau tersirat.

Jadi, isunya bukanlah mengenai hak orang bukan-Melayu untuk menjadi Perdana Menteri. Isu pokoknya ialah sesiapa sahaja dari parti DAP, sama ada Melayu atau bukan-Melayu, tidak layak menjadi Perdana Menteri selagimana ideologi parti itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ini pandangan saya. 

MARZUKI MOHAMAD- HARAKAHDAILY 2/12/2023

Sumber Asal: https://www.facebook.com/share/p/G9kSxXGg3iuSr8vJ/?mibextid=qi2Omg 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -