PRK Kemaman: Felda bukan lagi deposit tetap Umno

- Advertisement -

KEMAMAN: Felda yang pernah menjadi deposit tetap Umno sebelum 2018 hanya menang di saluran 1 di Felda Kerteh 5 dan Felda Kerteh 6 pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

- Advertisement -

Bagaimanapun saluran 2 hingga 5 kesemua dimenangi PAS di kedua-dua kawasan Felda terbabit yang terletak di Dun Kemasik.

Di Felda Kemasik 6 Umno menang dengan majoriti 111 undi di saluran 1, manakala lima lagi saluran yang melibat pengundi muda kesemuanya Umno kalah.

Begitu juga di Felda Kemasik 5 Umno menang 56 undi di saluran 1, dan tewas lima lagi saluran undi anak-anak muda.

Pada PRU tersebut calon PAS Ustaz Che Alias Hamid menang dengan majoriti 252 undi di Felda Kerteh 6 dan menang 189 undi di Felda Kerteh 5.

Ketua Unit Daerah Mengundi (UDM) Kerteh 6, Musa Mohd, 71, berkata, sebelum ini kawasan Felda terbabit merupakan kubu kuat Umno yang sukar ditembusi PAS.

Katanya beliau pernah menyokong Umno sebelum ini, namun menyertai PAS selepas PRU 1999 ketika PAS mentadbir kerajaan negeri.

Kata beliau hampir sebahagian besar veteran yang ada sekarang merupakan penyokong Umno dan ada yang mempunyai jawatan dalam parti itu di peringkat Felda.

“Namun ramai berubah menjelang PRU 1999 ketika berlaku reformasi di seluruh negara. Umno ketika itu hilang pengaruh di kawasan majoriti orang Melayu termasuk di kawasan Felda.

“Sebelum ini PAS tidak dapat melaksanakan sebarang aktiviti di kawasan Felda kerana tidak ramai penyokong. Tiada cawangan PAS ketika itu,” katanya ketika ditemui.

Bagaimanapun beliau berkata, segalanya berubah pada 1999 apabila sebahagian orang Melayu termasuk di kawasan Felda menolak Umno.

Felda Kerteh 6 mempunyai kira-kira 400 peneroka. Generasi awal datang daripada pelbagai negeri termasuk Kelantan, Kedah dan Pahang. Felda itu dibuka pada tahun 1980-an.

Bagaimanapun keutamaan diberi kepada rakyat Terengganu untuk ditempatkan di Felda. Felda paling awal dibuka di Terengganu iaitu Felda Chalok di Setiu dan Felda Jerangau di Dungun dibuka pada 1960-an.

Yusof Mamat

Pendedahan Musa turut diakui bekas ahli jawatankuasa Umno Felda Kerteh 6, Yusof Mamat, 68, sambil memberitahu sebelum 1999 PAS sukar bertapak di kawasan Felda.

Katanya, kalau ada aktiviti PAS dilakukan secara bersembunyi kerana tidak ramai penyokong.

Bagaimanapun kata beliau situasi sekarang berbeza sama sekali di mana sokongan PAS semakin meluas di seluruh kawasan Felda.

“Biarpun Umno memberi tumpuan kempen PRK di kawasan Felda, namun gerak kerja jauh berbeza dengan PAS.

“Umno terpaksa menganjurkan aktiviti hiburan termasuk wayang pacak bagi menarik kehadiran anak-anak muda. Program itu diadakan di kawasan sekolah agama milik kerajaan Pusat.

“Begitu juga ketika kedatangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kemaman Rabu lepas dua bas disediakan bagi mengangkut anak-anak muda dari Felda,” katanya.

Mereka turut yakin situasi yang berlaku pada PRU dan PRN kekal sehingga sekarang ekoran prestasi kerajaan Madani semakin dipertikai rakyat. – HARAKAHDAILY 1/12/2023

- Advertisement -