Peruntukan Ahli Parlimen: Anwar mudah lupa?

- Advertisement -

SEMALAM dalam Ceramah Mega Perpaduan Madani di Kemaman Perdana Menteri ke-10 (PMX) membuka aibnya secara terbuka. Ucapannya penuh emosi, marah dan herdikan. Nampaknya, beliau sendiri telah merasai tekanan serta suhu yang teramat tinggi hasil daripada tidak puas hatinya rakyat terhadap setahun pentadbiran Kerajaan Madani.

Semalam apabila menjawab kritikan bahawa beliau adalah Perdana Menteri yang tidak adil, beliau sebut, “Masa kamu perintah ada kamu bagi peruntukan?”

Hilang ingatankah beliau? Mari sini saya ingatkan. Ingat baik-baik tarikh ini. Mac, 2020.

Ketika zaman pentadbiran PERIKATAN NASIONAL, pimpinan PN khususnya Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melakukan langkah inovasi politik yang berjiwa besar dengan memberikan sejumlah wang peruntukan untuk Ahli-ahli Parlimen pembangkang.

Ketika itu jumlah yang diterima adalah sebanyak RM100,000. 

Perkara ini adalah dalam pengetahuan orang awam. Ianya dibuktikan dengan tangkap layar emel yang telah didedahkan oleh Ahli Parlimen Subang daripada PKR, YB Wong Chen dalam Facebook beliau. (Sinar Harian, 2020)

PMX ketika ini berada di mana? Sedang sibuk bergelut mempertahankan jawatan sebagai Pengerusi Pakatan Harapan sehingga tidak sempat nak kemaskini perkembangan ‘reformasi’ sebenar yang telah berlaku dalam negara kita?

Semalam beliau sebut juga, “masa zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin jadi Perdana Menteri, dia tak bagi dan tak berunding pun.”

Pertamanya salah, keduanya betul. Salah kenapa? Pada Julai 2021, sebanyak RM300,000 peruntukan telah diagihkan kepada semua Ahli Parlimen termasuk daripada Ahli-ahli Parlimen pembangkang melalui program Bantuan Bakul Makanan dan ianya sekali lagi adalah maklumat terbuka yang diketahui dan boleh diakses oleh orang awam khususnya Ahli-ahli Parlimen.

Maka, dalam ceramah semalam itu pembohongan apa yang dihemburkan oleh PMX? Adakah beliau benar-benar faham dengan apa yang beliau sebutkan atau hanya bercakap bohong fitnah ke sana dan ke sini kerana terlalu banyak kegagalan dalam setahun Kerajaan Madani sehingga tidak banyak yang boleh ‘dijual’ bagi menarik undi dalam PRK Kemaman kali ini.

Betulnya kenyataan PMX itu apa? Betulnya ialah benar, memang Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berunding kerana beliau telah memberikan peruntukan tersebut tanpa perlu ada apa-apa syarat dan perundingan yang perlu dilakukan.

Inilah perbezaan besar antara politik terkebelakang PMX yang mengkhianati agenda reformasi dan pimpinan PERIKATAN NASIONAL yang komited dengan agenda inovasi politik dalam proses demokrasi dalam negara kita.

Berehatlah duhai PMX, masa anda telah sampai ke penghujungnya. Bertaubatlah, tunaikanlah janji anda dan kembalilah ke jalan yang benar. Terimalah hakikat bahawa Kerajaan Madani telah gagal.

Sekian.

USTAZ MOHD HARUN ESA
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu
30 November 2023 – HARAKAHDAILY 30/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -