Tabung Terengganu Aid4Palestine 2.0 sasar RM1 juta

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Tabung Terengganu Aid4Palestine 2.0 berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak RM771,000 sejak dilancarkan pada 25 Oktober lalu.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kutipan derma itu bertujuan bagi meringankan beban penderitaan penduduk Palestin yang menjadi mangsa kekejaman zionis Israel.

Kata beliau yang juga Adun Tepuh, jumlah itu tidak termasuk kutipan yang telah dibuat di masjid-masjid negeri ini.

“Kita jangkakan selepas daripada ini akan mencapai jumlah sasaran yang kita letakkan sebanyak RM1 juta.

“Kutipan itu diserahkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman yang telah terlibat secara langsung di bumi Palestin.

“Apa yang dilakukan beliau sangat proaktif dan beliau menyediakan laporan penuh perjalanan sumbangan yang berlaku di bumi Palestin,” jelasnya.

Beliau ketika Majlis Penyerahan Kutipan Derma Tabung Terengganu Aid4Palestine 2.0 bertempat di Dewan Besar Wisma Darul Iman (WDI), di sini, hari ini.

Program tersebut dirasmikan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Mohd Nor Hamzah.

Terdahulu, kerajaan negeri melancarkan ‘Tabung Terengganu Aid4 Palestine 2.0’ pada 25 Oktober yang lepas setelah daripada serangan rejim zionis terhadap bumi Palestin.

Tambah Hishamuddin, inisiatif itu diambil di atas kebersamaan umat Islam di Palestin melalui kerajaan negeri.

“Usaha tersebut merupakan kali kedua dilaksanakan di negeri ini selain memberi peluang kepada rakyat untuk menyalurkan sumbangan ke saluran yang tepat,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nor berkata sumbangan tersebut melibatkan lebih daripada 40 agensi, 27 anak syarikat kerajaan Negeri (GLC) dan 44 badan bukan kerajaan (NGO) termasuk non-Muslim.

Beliau berkata, ini membuktikan bahawa besarnya solidariti rakyat Malaysia khususnya rakyat Terengganu yang sentiasa mengikuti rapat perkembangan saudara seagama di bumi Palestin.

“Saya berharap bahawa usaha ini dapat diteruskan dan diberkati oleh Allah SWT,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/11/2023

- Advertisement -