KOTA BHARU: Rumah Pam Kemubu 3 kini sedang dalam pembinaan yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025 akan datang.
Pembinaan tersebut adalah untuk membolehkan air yang berada pada paras satu meter dapat dipam dari Sungai Kelantan dan dibekalkan ke bendang padi kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) terutama ketika berdepan musim kemarau.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pembinaan itu juga memandangkan rumah pam sedia ada tidak dapat beroperasi apabila paras air Sungai Kelantan berada pada paras satu meter.
“Sebagai langkah jangka masa panjang Rumah Pam Kemubu 3 akan dibina memandangkan sumber utama bekalan air bendang padi dalam kawasan KADA tebing timur iaitu Jajahan Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh adalah dari Sungai Kelantan.
“Rumah pam sedia ada iaitu Kemubu satu dan Kemubu dua tidak dapat beroperasi apabila paras air Sungai Kelantan berada di bawah paras satu meter. Sehubungan dengan itu Rumah Pam Kemubu 3 sekarang ini sedang dibina bagi membolehkan air dipam di bawah paras satu meter,” katanya pada persidangan DUN Kelantan, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Saizol Ismail (PAS-Salor) yang bertanya mengenai kelewatan bekalan air sering berlaku apabila pihak KADA tidak dapat membekalkan air sepenuhnya terutama dalam musim kemarau.
Sementara itu beliau yang juga ADUN Selising berkata, antara langkah lain juga pihaknya membina Empangan Rendah ‘Low Wier’ yang dijangka siap pada tahun 2026.
Katanya, pembinaan itu bagi meningkatkan paras air Sungai Kelantan supaya Rumah Pam Kasa dan Rumah Pam Lemal yang membekalkan air ke kawasan KADA tebing barat dapat beroperasi terutamanya dalam musim kemarau.
“Selain itu, pihak KADA telah menyediakan peruntukan sebanyak RM98,700.00 untuk bekalan 96 buah backward pump dan peruntukan sebanyak RM291,929.90 untuk pembinaan 91 buah tubewell termasuk keperluan lain yang berkaitan bagi memberi kemudahan kepada petani untuk mendapatkan sumber bekalan air semasa musim kemarau.
“Antara lain, pam-pam mudah alih akan digerakkan kekawasan yang bermasalah untuk mendapatkan bekalan air terutamanya di penghujung sistem pengairan.
“Pihak KADA juga telah meminjam pam-pam mudah alih dalam pelbagai kapasiti dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia sekiranya terdapat keperluan tambahan,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/11/2023