Sungai Kedah, Anak Bukit produk pelancongan ikonik

Dato' Mohd Salleh Saidin
- Advertisement -

ALOR SETAR: Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit akan dipromosikan sebagai produk pelancongan ikonik di negeri ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata, usaha itu bukanlah ketika ini sahaja (2020 -2023) sebaliknya telah dimulakan sebelum bermulanya Discover Kedah 2016 lagi.

Menurutnya lagi, beberapa langkah inisiatif telah diambil oleh kerajaan negeri khususnya untuk mempromosikan sungai-sungai terbabit.

“Antaranya, beberapa program di Sungai Anak Bukit seperti explorasi, Fun Race RC Power Boat, program kayuhan basikal di sepanjang sungai dan gotong-royong,” jelasnya ketika menjawab soalan Teh Swee Leong (PH-Kota Darul Aman) pada persidangan DUN Kedah, hari ini.

Dalam pada itu ujar beliau lagi, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) juga telah mengambil inisiatif mewujudkan satu master plan pembangunan Sungai Kedah memastikan pembangunan di kawasan tersebut dapat dicapai.

Malah kata Salleh, kerajaan negeri turut melantik satu syarikat untuk menjadi operator bot di Sungai Kedah tersebut dan sambutan yang diterima amat menggalakkan.

“Operator bot yang dilaksanakan pada tahun ini turut dibantu Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi pencahayaan dan kebersihan sungai serta tembok di pinggir sungai.

“Justeru beberapa aktiviti dan program dapat dilaksanakan di sepanjang sungai seperti aktiviti memancing atau remote control boat yang dilihat berjaya menarik penyertaan  daripada dalam dan luar negara,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 28/11/2023

- Advertisement -