Pesta Loy Krathong: Kerajaan negeri teliti pelanggaran syarat

Hilmi Abdullah
- Advertisement -

KOTA BHARU: Konsert sempena Pesta Loy Krathong yang telah diadakan di Wat Pathumviharn, Bachok, Jumaat lalu telah mendapat permit kelulusan daripada kerajaan negeri.

- Advertisement -

Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah ekoran selepas tular di laman sosial berhubung konsert itu.

Justeru beliau menjelaskan, konsert Pesta Loy Krathong itu adalah tidak melanggar Enakmen Kawalan Hiburan Kelantan sebagaimana didakwa pihak tertentu memandangkan ia mempunyai permit.

Katanya, pihak penganjur juga telah membuat permohonan dan telah diluluskan pada 20 September selepas mengambil kira syarat dan peraturan perlu dipatuhi serta lokasi ia juga dibuat secara tertutup dan hanya dihadiri penganut agama mereka sahaja.

Hilmi berkata, berhubung dengan pelanggaran syarat satu tindakan akan diambil ke atas pihak penganjur memandangkan terdapat pelanggaran terhadap syarat yang telah ditetapkan.

“Antara kesalahan yang kita telah kenal pasti setakat ini adalah dengan menampilkan penyanyi dari Thailand yang tidak mematuhi etika pemakaian, selain membenarkan pengunjung beragama islam ke konsert berkenaan yang berlangsung Jumaat lalu.

“Satu sesi pendengaran dan siasatan telah dibuat oleh Ketua Jajahan Bachok berkenaan konsert tersebut yang turut dihadiri wakil Majlis Daerah Bachok, Polid Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Agama Jajahan Bachok, Penggawa Daerah Bachok dan juga pihak penganjur yang terlibat,” katanya ketika ditemui selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Justeru, jelasnya kerajaan negeri akan meneliti mengenai bentuk kesalahan dan pelanggaran syarat selain turut dikenakan tindakan kepada pihak terbabit ekoran kegagalan mematuhi syarat dan etika menampilkan penyanyi dari Thailand yang tidak mematuhi etika pemakaian, selain membenarkan pengunjung beragama islam ke konsert berkenaan.

“Konsert atau pesta sebegini merupakan aktiviti keagamaan yang sering diraikan oleh kaum berkenaan yang mana kita memberi kebenaran untuk mereka mengadakan dan meraikan kebudayaan masing-masing, malah isu ini timbul kerana terdapat individu tidak berkenaan turut terlepas menyertai pesta tersebut serta terdapat pelanggaran etika dan syarat yang ditetapkan.

“Pun begitu, pihak penganjur Wat Pathumviharn di Bachok turut mengakui seorang anggota Rela yang diupah di konsert berkenaan, gagal mengawal keadaan sehingga acara berkenaan turut dikunjungi pengunjung beragama Islam.

“Sedangkan poster berhubung acara berkenaan sudah dibuat dalam bahasa Thailand dan konsert keagamaan yang diadakan secara tahunan itu hanya dibuka untuk penganut beragama Buddha sahaja,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/11/2023

- Advertisement -