Penginapan berpusat untuk kawal pekerja asing

Wong Chia Zhen
- Advertisement -

ALOR SETAR: Majikan dan penyedia penginapan sangat digalakkan untuk menyediakan penginapan berpusat berbentuk Central Labour Quarter (CLQ) bagi memudahkan pengurusan penginapan pekerja.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India, Siam dan NGO negeri, Wong Chia Zhen ketika menjawab soalan Khairul Anuar Ramli (Bersatu-Lunas) berkata, Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) mewajibkan majikan menyediakan penginapan pekerja sebagai mematuhi standard minima undang-undang yang ditetapkan.

“Setakat ini Majlis Perbandaran Kulim telah meluluskan projek pembinaan CLQ berjumlah 3,669 unit yang boleh menampung seramai 30,541 pekerja warga asing di daerah Kulim dan sekitar Kulim Hi-tech Park (KHTP).

“Manakala, sebanyak 911 unit baru yang boleh menampung seramai 8,919 pekerja asing sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada tahun 2024,” jelasnya pada persidangan DUN Kedah di Wisma Darul Aman, hari ini.

Khairul pada soalannya inginkan penjelasan inisiatif kerajaan negeri untuk menyediakan penempatan khususnya CLQ kepada pekerja asing yang sah di KHTP dan persekitaran.

Justeru, kata Wong, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) sangat komited dan  menggalakkan inisiatif pembangunan penginapan berpusat berbentuk CLQ, sementara Kulim Teknology Park Corporation (KTPC) iaitu anak syarikat kerajaan negeri juga menyahut saranan berkenaan.

Tambahnya lagi, di Zon Industri KHTP, PBT telah meluluskan pembangunan CLQ  untuk 1,500 pekerja asing selain di tapak pembinaan (1,200 pekerja warga asing) dan dijangka akan siap pada April 2014.

“CLQ ini seperti kuarters pekerja warga asing di mana antara tujuannya untuk mengawal pergerakan dan aktiviti penempatan warga terbabit di kawasan perumahan tempatan.

“Dengan inisiatif itu dapat memastikan keselamatan dan keselesaan komuniti penduduk tempatan lebih terjamin, pengawalan penyakit berjangkit dan kesesakan lalulintas menjadi lebih terkawal.

“Selain mengurangkan isu dan masalah sosial serta pertembungan budaya antara pekerja warga asing dan penduduk tempatan,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri juga prihatin dan mengambil tanggungjawab untuk memastikan pekerja asing tidak mengambil alih peluang perniagaan yang sepatutnya dimiliki oleh penduduk tempatan, antaranya beberapa penetapan, penguatkuasa undang-undang dan syarat-syarat yang  dilaksanakan. – HARAKAHDAILY 28/11/2023

- Advertisement -