Kedah sentiasa proaktif bantu saudara baru

Ustaz Mohd Azam Abdul Samat
- Advertisement -

ALOR SETAR: Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (PUSBA) menyediakan kelas bimbingan untuk saudara baru (mualaf) sejak tahun 1999.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Azam Abdul Samat berkata, PUSBA yang dikendalikan oleh Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) menyediakan pengajian Al-Quran dan asas fardu ain sepenuh masa selama empat bulan bagi tahap pertama dan empat bulan bagi tahap kedua.

“Kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah proaktif membantu saudara baru (mualaf) sama ada melalui agensi kerajaan mahupun badan bukan kerajaan.

“Selain menyediakan pusat bimbingan, para pelajar di PUSBA juga disediakan kemudahan penginapan, makan minum, pakaian, buku dan alat tulis serta dibayar elaun pengajian sebanyak RM300 sebulan melalui peruntukan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK),” katanya pada persidangan DUN Kedah di sini, hari ini.

Beliau menyatakan demikian menjawab soalan lisan Mohd Radzi Md Amin (PAS-Pedu) yang bertanyakan berkenaan perancangan kerajaan negeri untuk membimbing mualaf.

Katanya lagi, Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) menerusi Pusat Dakwah Islam Negeri Kedah (PIDK) juga sentiasa menyokong dan bekerjasama dengan sebarang program atau aktiviti MAIK berkaitan golongan terbabit.

“Bagi tahun ini (2023), PDIK telah beberapa kali menjalinkan kerjasama bersama PUSBA dengan menyediakan kursus sekitar Alor Setar. YINK juga menawarkan kemudahan yang sama kepada PUSBA,” tambahnya.

Katanya lagi, kelas mingguan juga disediakan kepada para pelajar (saudara baru) yang tidak berkesempatan hadir ke kelas sepenuh masa.

Kelas mingguan itu jelas beliau diadakan di lapan daerah iaitu di Kuala Muda, Kota Setar, Kubang Pasu, Baling, Kulim, Pendang, Padang Terap dan Langkawi.

“Bagi membantu mualaf, mereka dijuga dibayar elaun kehadiran sebanyak RM35 untuk setiap kali kehadiran.

“Bagi pelajar yang tidak dapat mengikuti pengajian sepenuh masa dan kelas mingguan, PUSBA kini sedang berusaha untuk melaksanakan kursus intensif jangka pendek kepada mereka,” jelasnya lagi.

Selain PUSBA, jelasnya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) juga aktif menjalankan pelbagai program bimbingan untuk saudara baru di negeri ini. – HARAKAHDAILY 28/11/2023

- Advertisement -