Sentimen salah terhadap ajaran Islam mesti dibetulkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sentimen salah dan sinikal terhadap ajaran agama Islam yang diletuskan oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menerusi menerusi media sosial turut dipersoalkan dalam persidangan Dewan Rakyat, di sini sebentar tadi.

Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) dalam soalan tambahannya kepada Kementerian Belia dan Sukan bertanya sama ada modul-modul dalam program Rakan Muda ada menerapkan perkara asas agama.

“Berapa hari lepas saya terbaca di dalam akhbar Harian Metro berhubung seorang individu membuat hantaran di platform X menyatakan kononnya ajaran PAS menolak Coldplay, Blackpink dan Bollywood, namun menerima poligami. 

“Hantaran sebegini seolah-olah menyatakan poligami ini merupakan ajaran PAS sedangkan ia merupakan perkara yang diizinkan dalam Islam. Saya tidak poligami. Hantaran ini dilaporkan dibuat oleh seorang individu bernama Sim Tze Tzin yang saya dimaklumkan beliau Ahli Parlimen Bayan Baru.

“Dan ia sangat-sangat menyentuh sentimen 3R soalan YB Menteri, adakah modul-modul yang dalam Rakan Muda ini turut akan menerapkan perkara-perkara basic dalam agama yang pelbagai dalam negara agar kita berhati-hati menyentuh isu dalam media sosial dan tidak menjadi seperti yang dinyata oleh individu tadi?” soalnya.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli menjawab, dalam program Rakan Muda ia platform untuk menyatupadukan golongan belia, namun sedar suhu politik dalam negara ini sentiasa menggelegak panas.

“Tentu sekali kita tidak mahu golongan belia terikut-ikut kerana golongan belia ada fokus masing-masing. Mereka ada peranan masing-masing dan kita tidak halang sebarang bentuk pandangan, kritikan dan dialog diadakan dalam kalangan. 

“Sebab itu dalam program rakan muda kita wujudkan beberapa program dialog supaya ada pandangan-pandangan berbeza boleh kita letakkan dalam satu tempat di mana ia boleh dibincangkan secara sihat. Sikap-sikap oleh ahli politik tak kiralah daripada blok mana sekalipun adalah satu perkara yang kita boleh improve dari masa ke semasa. 

“Dan saya harap menerusi program-program yang diterapkan dalam 10 gaya hidup rakan muda ini, golongan belia boleh ambil nilai-nilai positif untuk dijadikan sebagai sebuah pegangan dalam hidup mereka,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -