Pemimpin punca jatuh bangun ekonomi negara dan rakyat

- Advertisement -

SHAH ALAM: Sistem ekonomi bertujuan memanfaatkan segala sumber dan hasil untuk kebaikan rakyat dan negara, demikian tegas Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden.

Katanya, ia sebahagian daripada maksud memakmurkan bumi yang mana tanggungjawab tersebut terpikul kepada pemimpin selaku khalifah dalam menjalankan peranannya kepada rakyat dan negara.

Menurut beliau, sebarang rekod data atau statistik dapat dilihat sebagai ukuran atau petunjuk kepada watak iaitu manusia selaku pihak yang menentukan tadbir urus ke atas ekonomi atau sektor tersebut.

Beliau berhujah demikian dalam program Berani Semuka Sinar Harian yang mendebatkan tajuk ‘Survival Ekonomi: Rakyat Lega atau Terhimpit’ bersama Ketua Pemuda PAN, Senator Mohd Hasbie Muda, di sini malam tadi.

“Pemimpin kena adil, pemimpin mesti dipercayai. Pemimpin tak boleh asal buka mulut bohong, asal buka mulut bohong. Tak boleh macam itu. Tak boleh jadi pemimpin begitu. Pemimpin mesti urus tatakelola, tadbir urus.

“Wewenang yang dicerakinkan dengan penuh tiwikrama yang sangat baik. Pemimpin kena buktikan. Kena layan rakyat sama rata, tak boleh tengok warna parti politik. Negeri pembangkang, masalah disusahkan, disulitkan. 

“Ada dihalang mesyuarat-mesyuarat tertentu tak dibenarkan masuk dalam negeri-negeri pembangkang. Ahli-ahli Parlimen pembangkang dinafikan peruntukan. Tatakelola ini tak baik, menggunakan helikopter kerajaan untuk kempen pilihan raya, cakap lain tapi buat lain. 

“Menyebabkan krisis kepercayaan itu berlaku kepada pemimpin. Menyebabkan ekonomi itu tidak dapat diurus dengan baik. Tidak patut ada politik dendam. Soal peruntukan misalnya,” tujah beliau.

Integriti atau sifat seumpama juga peringatnya, mesti dimiliki oleh rakyat, tetapi ia lebih utama kepada pemimpin apatah lagi pemimpin tersebut memerintah negara dan bukannya setakat mengurus parti politik.

Bahkan termasuk perlu dilakukan oleh pemimpin, para peniaga dan rakyat dalam ekonomi, adalah amalan berjimat cermat dalam berbelanja dan mempunyai ilmu pengurusan kewangan.

“Dia kena beriman kepada Allah. Kena takut dekat tuhan. Peniaga-peniaga, jangan hanya meniaga kira nak untung sahaja. Tujuan berniaga ni untuk melengkapi keperluan manusia lain. Jadi tak bolehlah letak harga mahal sangat, tak boleh sorok barang.

“Jangan menyusahkan orang. Semua watak-watak ni bagi saya punca utama ialah manusia. Manusia itu mesti berfungsi memudahkan urusan orang lain dan mesti takut pada tuhan. Barulah akan menghasilkan ekonomi yang baik,” nasihatnya. – HARAKAHDAILY 23/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -