ECRL: Selangor perlu prihatin penduduk Taman Sungai Sireh

Noor Najhan Mohd Salleh
- Advertisement -

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor diingatkan supaya prihatin dengan masalah penduduk Taman Sungai Sireh yang terkesan berikutan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

- Advertisement -

Noor Najhan Mohd Salleh (PN-Sementa) berkata, ini berikutan aduan daripada penduduk terlibat yang bimbang dengan jaminan daripada kerajaan negeri berhubung pampasan dan ganti rugi rumah masing-masing.

Katanya jika mengikut prosedur operasi standard (SOP) pelaksanana pelan pengambilan yang telah dibuat sehingga kini, penduduk dijangka akan mendapat notis mengosongkan rumah sekitar bulan April 2024.

Beliau berkata, Pewartaan Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah (APT) telah dikeluarkan pada 12 Januari 2023.

Katanya pemakluman rasmi berkaitan pewartaan Seksyen 8 APT hanya diserah kepada penduduk pada 26 September 2023 lalu bersama dengan Notis Borang E, APT Seksyen 10 oleh Jabatan Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG).

“Penduduk Taman Sungai Sireh kebanyakan mereka adalah golongan B40, warga emas, pesara dan tidak bekerja.

“Mereka tiada pendapatan tinggi dan sebahagian besar penduduk masih mempunyai pinjaman perumahan dengan pihak bank,” katanya pada sesi perbahasan peruntukan pembangunan di Sidang Dewan Negeri Selangor, di sini.

Tambah beliau penduduk terlibat juga tidak layak mendapatkan pinjaman untuk membeli rumah baharu.

Beliau berharap Menteri Besar dapat memberi jaminan kepada penduduk terlibat berhubung jumlah ganti rugi atau pampasan yang setimpal daripada kadar penilaian semasa yang dibuat oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH). 

Katanya ini kerana Menteri Besar pernah berjanji dalam ucapannya pada 18 Februari 2023 sempena program Jejalah Selangor Penyayang di Pangsapuri Seri Perantau, Pelabung Klang.

Tambah beliau, Menteri Besar berkata, “Saya pegang janji saya. Kita akan kenal pasti penyelesaian terbaik. Sementara ada masa ini kita juga kenal pasti kawasan perumahan mana yang dibangunkan yang mana kita boleh ganti tanah, rumah atau beli rumah dengan kos tertentu.”

Sehubungan itu, kata beliau, adakah Menteri Besar boleh memberi jaminan kepada penduduk terlibat tentang jaminan yang akan diberikan kepada mereka. 

Beliau turut berharap Menteri Besar dapat meluangkan masa mengadakan pertemuan khas dengan Jawatankuasa Bertindak Taman Sungai Sireh yang telah memohon dua kali pertemuan tetapi tidak mendapat maklum balas.

“Saya mohon ihsan daripada Menteri Besar dan kerajaan negeri agar prihatin dengan masalah penduduk Taman Sungai Sireh berikutan projek ECRL yang akan mengubah nasib kehidupan mereka di masa depan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/11/2023

- Advertisement -