Miss World Noble Queen di KL boleh hodohkan budaya kita

- Advertisement -

KUALA Lumpur (KL) bakal menerima limpahan kehadiran 25 delegasi peserta ratu cantik seluruh dunia yang akan berlangsung di Hotel Berjaya Times Square selama tempoh lapan hari bermula 5 Disember dan berakhir pada 12 Disember 2023.

Pertandingan yang berjustifikasikan mempromosi pelancongan Malaysia melalui kepelbagaian budaya dalam negara ini adalah penganjuran kali keenam sejak diadakan dan sebelumnya pada 2019 telah diadakan di Hong Kong. Bagi Penganjuran di Malaysia, ia mendapat sokongan daripada Tourism Malaysia yang merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Justeru, PAS Kelantan berkeyakinan atas terma kebudayaan, penganjuran ini sebenarnya hanya akan merosakkan budaya unik negara yang telah berada di kelasnya yang tersendiri di mata dunia. Selain penganjuran pertandingan ratu cantik yang memperagakan tubuh badan wanita di hadapan khalayak adalah jelas bertentangan dengan Syariat Islam dan tidak bersesuaian dengan Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Penganjuran berkenaan juga dilihat bercanggah dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang jelas menggariskan tiga (3) prinsip utama untuk dipatuhi iaitu;

i. Berteraskan kepada Kebudayaan Rakyat Asal Rantau ini;

ii. Unsur-unsur Kebudayaan Lain Yang Sesuai dan Wajar Diterima;

iii. Islam Menjadi Unsur Yang Penting Dalam Pembentukan Kebudayaan Kebangsaan.

(Ketiga-tiga prinsip asas di atas adalah melambangkan penerimaan gagasan Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971).

Sehubungan dengan itu, membawa 25 peserta ratu cantik seluruh dunia untuk mempromosikan budaya Malaysia bukanlah idea yang baik. Pihak kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan dipohon untuk menilai semula kelulusan penganjuran jika benar-benar bertanggungjawab memelihara kebudayaan negara kita.

Telah banyak kerosakan budaya dalam negara angkara serapan masuk budaya asing secara tidak terkawal. Lama-kelamaan budaya Malaysia yang unik akan hilang jati dirinya.

“Adil, Prihatin dan Berkebajikan”

YB USTAZ MOHD ASRI MAT DAUD
Ketua Penerangan
Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan
09 Jamadil Awal 1445H | 23 November 2023 – HARAKAHDAILY 23/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -