Kenapa kerajaan madani cuba lengahkan RUU GEG?

- Advertisement -

TAHUKAH anda United Kingdom telah membuat satu undang-undang untuk sesiapa yang lahir selepas Januari 2009 tidak boleh membeli rokok.

Namun usaha yang sama sukar dilaksanakan di Malaysia atas alasan RUU ini ‘tidak berperlembagaan’. Itulah hujah Peguam Negara serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Kita sendiri berasa pelik mendengar alasan tersebut. Sedangkan RUU ini sudah masuk Jawatankuasa Pilihan Khas, sudah masuk ke mesyuarat Kabinet bahkan sudah dibentangkan di Parlimen kali pertama.

Langsung tiada isu berbangkit. Ia hanya perlu dibawa ke Parlimen untuk bacaan kedua dan ketiga, dibahas, diundi lalu diluluskan.

Tetapi hal itu tidak berlaku. Tidak tahu kenapa dalam keadaan cecair nikotin telah dikeluarkan dari Akta Racun, kerajaan masih berlengah-lengah.

GEG bukan isu politik. Bayangkan jika RUU ini diluluskan, Malaysia suatu hari nanti akan menjadi negara bebas rokok sepenuhnya.

Satu persoalan yang masih tiada jawapan, kenapa susah untuk kerajaan madani bawa RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023?

Usah guna hujah wang Ringgit kerana kutipan dari duti eksais cecair nikotin langsung tidak setimpal dengan kos yang dibelanjakan untuk merawat penyakit yang disebabkan akibat merokok.

Namun jika Kabinet Perdana Menteri ke-10 (PMX) menganggap wang Ringgit dan kepentingan politik lebih berharga daripada kesihatan rakyat, berterus teranglah. Tidak perlu berselindung di sebalik hujah Perlembagaan.

Cukuplah berdalih. Bawa ke Parlimen. Barisan pembangkang sudah memberi jaminan akan menyokong jika kerajaan berhasrat meneruskan RUU tersebut.

Untuk sekarang, kita pegang jaminan Menteri Kesihatan yang janji bacaan kali kedua RUU GEG akan dibuat sebelum 30 November ini.

“Adil, Prihatin dan Berkebajikan”

YB DATO’ DR. AHMAD YUNUS HAIRI
Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Langat
23 November 2023 – HARAKAHDAILY 23/11/2023

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!