Apa di sebalik timbunan bebanan tugas guru?  

Ahmad Marzuk Shaary
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Saiz pengurusan dan pentadbiran sekolah dilihat jauh lebih kecil berbanding dengan kapasiti guru dan murid yang ada di sekolah.

Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berkata, antara kelemahan yang menyebabkan bebanan tugas guru bertimbun adalah kerana kekurangan staf sokongan.

- Advertisement -

“Staf sokongan yang ada di sekolah yang (diperlukan) boleh membantu guru-guru untuk melaksanakan tugas supaya mereka tidak perlu bawa balik kerja sekolah itu sampai ke rumah, (kerja) sehingga tengah malam,” katanya.

Beliau dalam masa sama bertanya mengenai inisiatif kerajaan kepada guru yang terpaksa bertugas di kawasan pedalaman dan luar bandar.

“Saya menyebut satu insiden yang berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan, Telupid, Sabah, apabila ada guru besar yang terpaksa tidur dalam stor prasekolah.

“Untuk memastikan supaya insiden ini tidak berulang, apakah inisiatif pihak kementerian bagi memastikan kebajikan guru yang dihantar bertugas di kawasan luar bandar dan pedalaman,” soalnya ketika mengemuka soalan tambahan pada sesi Jawab Lisan, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Mengulas berhubung bebanan tugas guru, Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, berkata, banyak langkah yang sudah diambil dan pihaknya akan terus memantau serta mengadakan libat urus dengan pemegang taruh.

Sementar, untuk inisiatif kebajikan guru di pedalaman, kata beliau, elaun tambahan disediakan kepada mereka yang ditempatkan di kawasan berkenaan.

“Berkenaan dengan insiden di stor, guru besar yang tinggal di stor kita memang kita akan mengambil satu tindakan susulan  (di sebalik) kenapa keadaan ini berlaku.

“Memang tiap hari ada insiden yang tidak sama tapi kita akan menguruskan setiap insiden dengan sebaik mungkin,” katanya.  HARAKAHDAILY 23/11/2023

- Advertisement -