Berapa ramai usahawan tempatan yang ‘gulung tikar’?

Roslan Hashim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi diminta menyatakan langkah bagi membantu usahawan yang terjejas akibat kelembapan ekonomi ketika ini.

Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) berkata, pandemik Covid-19 yang melanda seluruh negara sebelum ini juga turut memberi impak sehingga ada usahawan yang terpaksa menghentikan operasi bisnes masing-masing.

- Advertisement -

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan perlu memperincikan jumlah golongan terbabit akibat situasi tersebut serta inisiatif yang dilakukan bagi membantu usahawan yang terjejas.

“Saya minta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan berapa jumlah usahawan di negara kita yang terpaksa ‘gulung tikar’ ekoran kelembapan ekonomi dunia pada ketika ini.

“Selain itu, apakah usaha pihak kementerian untuk membantu usahawan terjejas,” katanya pada sesi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini. 

Menterinya, Datuk Ewon Benedick dalam jawapannya, mengakui kesan jangka panjang Covid-19 dan kenaikan harga barang merupakan faktor utama golongan itu menghentikan operasi perniagaan mereka.

Bagaimanapun, kaji selidik yang dilaksanakan pihaknya dari tahun 2020 sehingga 2023 mendapati hanya sebilangan kecil usahawan di negara ini terpaksa mengambil keputusan itu.

Beliau berkata, keadaan itu berlaku kerana kerajaan sentiasa memberi sokongan dan bantuan menerusi agensi kementerian seperti Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia dan sebagainya.

“Peratusan usahawan yang ‘gulung tikar’ antara tahun 2020 hingga 2022 adalah 8.85 peratus pada April 2020, 3.16 peratus (Jun 2021), 1.38 (Feb 2022), dan 2.7 peratus (Nov 2022).

“Dalam usaha membantu usahawan terbabit terjejas kementerian melalui agensi di bawah kita telah melaksanakan banyak inisiatif bagi memulihkan semula perniagaan mereka dengan baik,” katanya.  HARAKAHDAILY 23/11/2023

- Advertisement -