PN cadang kecualikan caj pembangunan kepada pemaju

Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff
- Advertisement -

GEORGETOWN: PERIKATAN NASIONAL (PN) Pulau Pinang mencadangkan kerajaan negeri mengecualikan caj pembangunan yang dikenakan kepada pemaju perumahan.

- Advertisement -

Ketua Pembangkang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berkata pengecualian terbabit memandangkan harga rumah di negeri ini mengalami kenaikan kedua tertinggi di Asia Tenggara.

“Apakah kerajaan negeri tidak boleh mengecualikan fees yang dikenakan kepada pemaju? Tujuannya untuk kita menyelesaikan perumahan rakyat yang fokus tertentu sahaja (untuk golongan) miskin, B40.

“Untuk kita pastikan supaya rakyat kita dapat memiliki rumah disebabkan maknanya pemaju perumahan terpaksa menanggung kos yang tinggi.

“Dia (pemaju) pun nak untung juga tetapi kalaulah kerajaan boleh mengecualikan cukai ini dalam projek tertentu sahaja. Sudah tentulah maknanya dapat mengurangkan harga rumah,” katanya yang juga Adun Sungai Dua.

Beliau berkata demikian semasa mengemukakan soalan tambahan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Menjawab soalan itu, Exco Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Sundarajoo a/l Somu berkata terdapat dua cara untuk mengurangkan caj pembangunan.

“Satu adalah mengurangkan development charge, satu lagi adalah bagi kelonggaran pembangunan. Saya rasa lebih baik kita bagi kelonggaran pembangunan dari segi densiti dan lain-lain,” katanya.

Ustaz Fauzi dalam soalan asal menyatakan dengan harga rumah di Pulau Pinang kedua tertinggi di Asia Tenggara dan harga median hartanah yang sepatutnya RM234, 072 tetapi berada pada harga RM330,000 ketika ini, bagaimanakah kerajaan negeri hendak membantu rakyat Pulau Pinang mempunyai rumah sendiri. – HARAKAHDAILY 22/11/2023

- Advertisement -