GAMIS gesa batal pertandingan Miss World Noble Queen

Nurul Husna Bakri
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menggesa kerajaan membatalkan pertandingan ratu cantik, Miss World Noble Queen yang akan diadakan di negara ini pada awal Disember depan.

- Advertisement -

Timbalan Pengerusi 3 Majlis Dakwah dan Kebajikan GAMIS, Nurul Husna Bakri berkata, pertandingan itu tidak wajar dianjurkan kerana majoriti rakyat negara ini adalah Muslim.

“Sudah semestinya sasaran utama program ini adalah melibatkan golongan wanita muda,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, generasi hari ini berhadapan dengan situasi yang sangat getir kerana sudah terlalu banyak pengaruh-pengaruh negatif yang menyerap masuk dalam diri mereka seawal usia remaja.

Sehubungan itu, ujrnya GAMIS menggesa pihak Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan untuk menarik balik kelulusan terhadap Jan Sit melalui Tourism Malaysia untuk melaksanakan pertandingan tersebut di Malaysia.

“Kerajaan perlu lebih peka terhadap penganjuran program yang tidak patuh syariah seperti pertandingan ratu cantik ini demi menghormati nilai-nilai Islam memandangkan Islam merupakan agama persekutuan,” katanya lagi.

Beliau memetik sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Tidaklah kemaksiatan yang dilakukan oleh sesuatu kaum, kemudian mereka (sebahagian daripada mereka) mampu untuk mengubahnya tetapi mereka tidak berbuat sedemikian, melainkan Allah SWT akan timpakan keseluruhan kaum tersebut dengan azab.” (Riwayat Abu Daud)

Menurutnya lagi, masih banyak program yang berobjektifkan perkara sama dapat dianjurkan untuk menarik minat dan mempromosikan Malaysia supaya dalam menarik ramai pelancong datang ke negara ini dengan cara terhormat dan diselitkan dengan nilai-nilai Islam.

Sebaliknya, kata beliau pertandingan sebegitu seolah-olah mempromosikan budaya Barat dan merendah-rendahkan martabat wanita.

“Oleh itu, GAMIS membantah pertandingan Miss World Noble Queen ini dijalankan di negara tercinta kita, Malaysia,” tegasnya.

Belaiu berharap semoga Malaysia terus maju dan mampu berdaya saing dengan penganjuran program yang lebih bermanfaat di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa terutamanya program yang melibatkan anak muda.

“Semoga anak muda kita sentiasa terpelihara daripada terjebak dengan penganjuran program sebegini.

“Pepatah menyebut ‘mencegah adalah lebih baik daripada merawat’,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 22/11/2023

- Advertisement -