Kumpulan The 1975 langgar peraturan persembahan

Abdul Latiff Abdul Rahman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Agensi Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) telah melaksanakan penambahbaikan dari segi gerak kerja pemantauan persembahan artis luar negara secara bersepadu.

- Advertisement -

Menurut KKD, ia melibatkan agensi-agensi penguatkuasaan seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Di samping itu, katanya PUSPAL sedang membuat penambahbaikan ke atas Garis Panduan PUSPAL (GPP) Cetakan Ke-5 bagi memastikan insiden seperti kumpulan The 1975 yang telah melanggar peraturan persembahan yang telah termaktub dalam GPP seperti meminum arak, mempertontonkan aksi melampau serta memperlekeh undang-undang negara tidak berulang lagi.

“Antara perkara yang diambil kira dalam penambahbaikan GPP adalah elemen pengurusan insiden,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya lagi, elemen pengurusan insiden adalah merujuk kepada tindakan serta-merta yang boleh diambil oleh pihak PUSPAL dan agensi-agensi penguatkuasaan berkaitan ke atas pelanggaran peraturan GPP terhadap penganjur dan artis luar negara.

Abdul Latif dalam soalannya meminta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan apakah perancangan kerajaan untuk memastikan insiden seperti kumpulan The 1975 yang telah melanggar peraturan persembahan dalam Malaysia dengan meminum arak, mempertontonkan aksi melampau serta memperlekeh undang-undang negara tidak berulang lagi.

Pada 21 Julai lalu, vokalis kumpulan muzik The 1975 bertindak biadap dengan memegang botol arak, mengeluarkan kata-kata kesat, merendahkan agama rasmi dan undang-undang negara ini serta bercium dengan ahli kumpulannya.

Aksi jijik artis dari United Kingdom itu dilakukan pada Festival Good Vibes 2023 anjuran Future Sound Asia di Sepang. – HARAKAHDAILY 21/11/2023

- Advertisement -