Pemain gantian, Darren Lok membantu Malaysia mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam Kelayakan Piala Dunia 2026 – Piala Asia 2027 di Stadium Perbandaran Taiwan di Taipei, malam tadi.
Pemain Sabah itu menjaringkan gol pada minit ke-72 untuk membantu Harimau Malaya mengatasi pasukan tuan rumah, 1-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan D.
Kejayaan anak buah Kim Pan-gon meraih kemenangan berturut-turut selepas ketinggalan dua gol untuk menewaskan Kyrgyzstan 4-3 di Kuala Lumpur dalam perlawanan pertama, Khamis lalu, membolehkan Harimau Malaya menduduki tangga teratas Kumpulan D dengan enam mata.
Ini dibantu kemenangan Republik Kyrgyzstan mengatasi Oman 1-0 di Stadium Omurzakov.
Pasukan negara turun padang dengan misi untuk memadamkan kekalahan berturut-turut sejak 2011 di Taipei, tetapi pertahanan pasukan tuan rumah terbukti cukup kental untuk menyukarkan penyerang Malaysia membolosi pintu gol.

Kali terakhir Malaysia menewaskan Taiwan 2-1 dalam kelayakan Piala Dunia pada Jun 2011. Malaysia tewas 2-3 dalam perlawanan timbal balik di Taipei tahun itu dan tumbang 0-2 dalam perlawanan persahabatan pada 2018.
Malaysia menyerang bertubi-tubi, tetapi kecewa beberapa kali sehingga Darren memecah kebuntuan pada minit ke-72.
Skuad negara akan meneruskan kempen kelayakan menentang pasukan nombor 72 dunia, Oman di tempat lawan pada 21 Mac tahun depan. – HARAKAHDAILY 22/11/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!