Biar mahkamah tentukan RUU Kawalan Produk Rokok

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menjelaskan kenyataan Pejabat Peguam Negara mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam boleh dicabar di mahkamah.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, pihaknya mengalu-alukan sekiranya generasi penamat ‘generational end game’ (GEG) yang turut terkandung dalam RUU itu dibicarakan.

- Advertisement -

Beliau berkata, sepatutnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu bekerjasama dan memberi sokongan untuk merealisasikan RUU itu, bebas rokok dan vape.

“Betul ke Peguam Negara kata benda ini tidak perpelembagaan, sebenarnya pegawai undang-undang KKM sendiri dah bagi tahu dalam jawatankuasa pilihan khas, benda ini bukannya tidak berperlembagaan.

“Kalau nak dicabar di mahkamah, silakan lawan lah dalam mahkamah, biarkan mahkamah memutuskan sama ada RUU ini berperlembagaan atau tidak,” katanya pada sesi perbahasan peringkat jawatankuasa KBS di Dewan Rakyat, hari ini.

Wan Ahmad Fayhsal turut membidas kerajaan kerana gagal mendidik serta mengawal golongan tersebut daripada terus tertagih dengan penggunaan bahan tembakau dan cecair rokok elektronik.

Beliau berkata, kerajaan terus berdolak-dalik dalam melaksanakan GEG, malah memberi pelbagai alasan yang mengarut dan tidak masuk akal khususnya sebahagian ahli jemaah menteri hari ini.

Menurutnya, Rakan Muda yang dilaksanakan semula di bawah kelolaan KBS perlu merangka perancangan yang jelas untuk melaksanakan advokasi mendidik belia untuk menjauhi penggunaan bahan terbabit.

“Saya amat terganggu melihat kanak-kanak umur enam tahun hisap vape tiada siapa tegur, dia selamba di tempat awam, ini bukti bahawa kegagalan kerajaan pada hari ini untuk meluluskan GEG.

“Saya nampak Rakan Muda ini perlu ada usaha jelas untuk memberi didikan di sekolah, dikhabarkan oleh KKM 15 peratus anak muda berumur 15 hingga 19 tahun hisap rokok dan vape,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/11/2023

- Advertisement -